LONDON: Pengembara yang sudah melengkapkan suntikan vaksin COVID-19 tidak perlu melalui proses kuarantin apabila memasuki Arab Saudi.

Pihak berkuasa penerbangan awam (GACA) dalam satu kenyataan memaklumkan bermula 20 Mei, pengembara yang telah menerima suntikan vaksin penuh yang tiba di negara itu dari negara-negara yang berkelayakan tidak perlu melalui proses kuarantin tujuh hari.

Ia juga termasuk mereka yang pernah dijangkiti COVID-19 dan sudah pulih sepenuhnya.

Ketika ini, pengembara yang tiba di negara itu perlu melalui proses kuarantin bagi tempoh tujuh hingga 14 hari bergantung dari negara mana dan perlu membuktikan keputusan ujian PCR negatif.

Bagi pelaksanaan baharu ini, kanak-kanak yang berusia lapan tahun yang masih belum menerima suntikan vaksin perlu menjalani tempoh kuarantin sejurus tiba di Arab Saudi bagi tempoh tujuh hari.

Perbelanjaan kuarantin perlu ditanggung sendiri dan mereka perlu mengesahkan ujian PCR negatif pada hari ke enam kuarantin.

Namun, pengecualian itu tidak termasuk pengembara dari 20 negara termasuk Amerika Syarikat, India, United Kingdon, Jerman, Perancis dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Ini adalah sebagai langkah berhati-hati dalam memastikan penularan COVID-19 dapat dibendung di negara itu.

Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Dalam Negeri Arab Saudi mengumumkan rakyat negara itu masih dilarang untuk mengembara ke 13 negara.

Negara tersebut termasuk Libya, Syria, Lubnan, Iran, Turki dan India.