KUALA LUMPUR: Pengembara yang pulang dari negara yang melaporkan penularan virus SAR-CoV-2 Variant of Concern (VOC) wajib melengkapkan kuarantin 14 hari, berbanding 10 hari yang ditetapkan sebelum ini.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memutuskan bahawa pengembara yang memasuki negara, perlu menjalani tempoh kuarantin terbabit susulan penemuan varian jenis baharu itu di Malaysia.

Katanya, arahan itu adalah sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan penularan VOC jenis baharu di Malaysia.

"Melihat kepada perkembangan pelaporan beberapa jenis VOC baharu lagi di banyak negara luar, adalah dikhuatiri varian ini kemungkinan boleh dibawa masuk oleh pengembara yang mengembara ke Malaysia.

"Antara lain mereka perlu menjalani ujian swab bagi ujian pengesanan jangkitan COVID-19 tiga hari sebelum tarikh berlepas," katanya dalam kenyataan di sini, pada Sabtu.

Tambah Ismail Sabri, pengembara juga diwajibkan menjalani perintah pengawasan dan pemerhatian di stesen kuarantin yang disediakan.

Katanya, pengembara yang baharu tiba di Malaysia juga perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) termasuk memuat turun aplikasi MySejahtera.

Beliau menjelaskan, berdasarkan laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), terdapat tiga jenis varian yang membimbangkan iaitu B.1.351 yang pada mulanya dilaporkan di Afrika Selatan; B.1.1.7 mula dilaporkan di United Kingdom dan B.1.1.28 atau P1 yang pada mulanya dilaporkan di Brazil dan Jepun.

Katanya, penularan jangkitan itu berlaku dengan pantas dengan mempunyai gejala dan komplikasi yang teruk.

"Ini termasuk peningkatan kemasukan kes ke dalam wad dan unit rawatan rapi serta berlakunya kematian," ujarnya lagi.