LAHAD DATU: Tiada kompaun RM10,000 dikenakan terhadap sembilan pengemis wanita Palauh sebaliknya hanya siasatan dilakukan, kata Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Rohan Shah Ahmad.

Beliau berkata, kertas siasatan dibuka berhubung tangkapan terhadap sekumpulan wanita Palauh pada Sabtu lalu.

"Tiada kompaun dikeluarkan oleh Ibu Pejabat Daerah (IPD) Lahad Datu kepada sembilan wanita Palauh sehingga kini.

"Kertas siasatan dan siasatan sedang dilakukan mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Peraturan 17 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Kawalan Pergerakan Pemulihan) (No 3) 2021 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

BACA: PKPP: Sembilan wanita, 25 kanak-kanak palauh ditahan minta sedekah

Mengulas lanjut, Rohan Shah berkata, selepas siasatan dilengkapkan, Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Lahad Datu akan merujuk kertas siasatan itu kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.

Pada Sabtu, sekumpulan wanita itu ditahan dalam Ops Covid-19 selepas didapati melanggar syarat Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di sekitar bandar Lahad Datu.

Mereka ditahan ketika melakukan aktiviti mengemis dengan tidak memakai pelitup muka dan tidak mengamalkan penjarakan sosial.