MELAKA: Sindiket pengemis warga asing yang mampu memperoleh wang sekitar RM500 sehari di bazar Ramadan negeri ini akhirnya berjaya diberkas polis pada Selasa.

Dalam Op Pengemis jam 7.30 malam, polis telah menahan seorang individu warga tempatan berusia 35 tahun dipercayai dalang sindiket itu bersama tiga pengemis warga Thailand berusia antara 33 sehingga 46.

Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, pihaknya menerima aduan aktiviti mengemis yang semakin banyak dilihat terutama di bazar Ramadan, pusat beli-belah dan pasar raya.

Menurut beliau, susulan itu pihaknya menjalankan operasi bersepadu membabitkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi menumpaskan aktiviti sindiket ini.

"Kita telah menahan empat individu termasuk tiga lelaki warga asing kerana terlibat dalam aktiviti mengemis.

"Mereka memberi alasan wang kutipan sedekah itu untuk pembinaan sebuah Sekolah Agama di Selatan Thailand," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Khamis.

Tambah beliau, pihaknya turut merampas dokumen-dokumen yang digunakan bagi tujuan memperdaya orang ramai dan wang tunai berjumlah RM736.

Jelas beliau, siasatan awal mendapati ketiga-tiga warga asing itu dibawa menggunakan kenderaan oleh suspek tempatan dari Kuantan, Pahang ke Melaka termasuk menguruskan tempat tinggal mereka di sebuah Hotel di Jalan Tun Perak di sini.

Ujar beliau, mereka turut mengakui memperolehi hasil kutipan harian antara RM400 sehingga RM500 dengan menyasarkan tapak-tapak bazar Ramadan.

"Hasil soal siasat suspek utama mendakwa dia merupakan pengusaha kantin di sebuah sekolah di Kuantan," katanya lagi.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 15 tahun dan denda. -Sinar Harian