Pengenalan Skim Lindung 24/7 langkah penting dalam perlindungan pekerja - Lee

Lee berkata cadangan pindaan yang meluaskan perlindungan kepada 24 jam sehari merupakan satu usaha besar dalam melindungi tenaga kerja negara. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Keselamatan Sosial Pekerja (Pindaan) 2025 memperlihatkan komitmen untuk meningkatkan kebajikan pekerja, mengurangkan pendedahan risiko serta membina sistem perlindungan sosial yang lebih manusiawi dan berpandangan jauh.
Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat Tan Sri Lee Lam Thye berkata RUU yang memperkenalkan perlindungan bersejarah, Skim Lindung 24/7 itu merupakan satu pencapaian penting dan progresif dalam landskap perlindungan sosial di Malaysia.
Lee berkata cadangan pindaan yang meluaskan perlindungan kepada 24 jam sehari merupakan satu usaha besar dalam melindungi tenaga kerja negara.
"Buat pertama kalinya, lebih 10 juta pekerja sektor formal akan menikmati perlindungan bukan sahaja semasa waktu bekerja atau ketika dalam perjalanan, tetapi juga bagi kecederaan yang dialami di luar waktu bekerja, termasuk di rumah, di tempat awam dan semasa melakukan urusan peribadi," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Lee berkata perlindungan 24 jam itu adalah tepat pada masanya dan diperlukan atas beberapa sebab, termasuk corak kerja dan kehidupan moden yang telah berubah dengan kemalangan boleh berlaku pada bila-bila masa serta kecederaan yang tidak dijangka boleh menimbulkan tekanan kewangan kepada keluarga, terutamanya isi rumah yang bergantung kepada seorang pencari nafkah.
Skim Lindung 24/7 memastikan keluarga kekal dilindungi daripada kehilangan pendapatan secara tiba-tiba, kos perubatan dan risiko kecacatan jangka panjang.
Reformasi ini mengukuhkan jaringan keselamatan sosial Malaysia dengan ketara dan mengiktiraf pekerja untuk mendapat perlindungan menyeluruh serta menjadikan Malaysia selaras dengan amalan terbaik antarabangsa yang menekankan perlindungan menyeluruh dan berterusan.
Lee berkata ketika Malaysia bergerak ke arah menjadi negara berpendapatan tinggi, perlindungan sosial yang kukuh adalah penting dan pindaan ini meletakkan asas yang kuat untuk reformasi masa depan yang mengutamakan rakyat, kestabilan dan daya saing negara.
Dewan Rakyat pada Selasa meluluskan RUU Keselamatan Sosial Pekerja (Pindaan) 2025, antara lain bertujuan memperkenalkan Skim Lindung 24/7, iaitu perlindungan menyeluruh kepada pekerja sepanjang masa termasuk di luar waktu bekerja.
-- BERNAMA
Fakta Segera: Jawapan Pantas Dari AI
- Q: Apakah tujuan utama Rang Undang-Undang (RUU) Keselamatan Sosial Pekerja (Pindaan) 2025? A: RUU Keselamatan Sosial Pekerja (Pindaan) 2025 bertujuan untuk meningkatkan kebajikan pekerja, mengurangkan risiko yang dihadapi, serta membina sistem perlindungan sosial yang lebih manusiawi dan berpandangan jauh.
- Q: Mengapakah Skim Lindung 24/7 yang diperkenalkan oleh RUU Keselamatan Sosial Pekerja (Pindaan) 2025 dianggap sebagai satu pencapaian penting? A: Skim Lindung 24/7 dianggap sebagai satu pencapaian penting kerana memperluas perlindungan kepada 24 jam sehari, menjadikan lebih dari 10 juta pekerja sektor formal dilindungi tidak hanya semasa bekerja atau ketika dalam perjalanan, tetapi juga di luar waktu bekerja termasuk di rumah, tempat awam, dan semasa melakukan urusan peribadi.
- Q: Apakah kepentingan perlindungan 24 jam yang diperkenalkan oleh RUU Keselamatan Sosial Pekerja (Pindaan) 2025? A: Perlindungan 24 jam memastikan keluarga pekerja kekal dilindungi daripada kehilangan pendapatan secara tiba-tiba, kos perubatan, dan risiko kecacatan jangka panjang, mengurangkan tekanan kewangan kepada keluarga terutamanya isi rumah yang bergantung kepada seorang pencari nafkah.
- Q: Bagaimanakah RUU Keselamatan Sosial Pekerja (Pindaan) 2025 mengukuhkan jaringan keselamatan sosial Malaysia? A: RUU Keselamatan Sosial Pekerja (Pindaan) 2025 mengukuhkan jaringan keselamatan sosial Malaysia dengan mengiktiraf pekerja untuk mendapat perlindungan menyeluruh, menjadikan Malaysia selaras dengan amalan terbaik antarabangsa yang menekankan perlindungan menyeluruh dan berterusan.
- Q: Apakah yang diluluskan oleh Dewan Rakyat berkaitan dengan RUU Keselamatan Sosial Pekerja (Pindaan) 2025? A: Dewan Rakyat telah meluluskan RUU Keselamatan Sosial Pekerja (Pindaan) 2025 yang antara lain memperkenalkan Skim Lindung 24/7, iaitu perlindungan menyeluruh kepada pekerja sepanjang masa termasuk di luar waktu bekerja.

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

