Skip to main content

Malaysia

Pengerusi PERDA mengaku tidak bersalah terhadap 15 pertuduhan rasuah

Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA), Datuk Shaik Hussein Mydin didakwa di Mahkamah Sesyen George Town atas 15 pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM847,107.61 pada 2025 hingga tahun ini. - Foto Astro AWANI
Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA), Datuk Shaik Hussein Mydin didakwa di Mahkamah Sesyen George Town atas 15 pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM847,107.61 pada 2025 hingga tahun ini. - Foto Astro AWANI

Advertisement

Ringkasan AI

  • Datuk Dr Shaik Hussein Mydin mengaku tidak bersalah atas 15 pertuduhan menerima rasuah lebih RM800,000 antara Jun 2025 hingga Julai 2026.
  • Beliau didakwa menerima wang sebagai upah melantik subkontraktor bagi projek asrama bernilai RM23 juta di PERDA-TECH, Bukit Panchor.
  • Mahkamah membenarkan jaminan RM300,000 dengan syarat tambahan dan menetapkan 8 Januari 2027 untuk sebutan semula kes.

GEORGE TOWN: Seorang pengerusi sebuah badan berkanun di Pulau Pinang hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, atas 15 pertuduhan menerima rasuah lebih RM800,000 antara Jun 2025 hingga Julai 2026.

Datuk Dr Shaik Hussein Mydin, 53, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Irwan Suainbon.

Shaik Hussein dituduh secara rasuah menerima wang berjumlah RM847,107.61 melalui syarikat Aliran Ilham Sdn Bhd (AISB) dalam beberapa transaksi, dengan nilai suapan antara RM45.51 sehingga RM244,620 daripada pengarah ATSH Management Sdn Bhd (ATSH) Datuk R Albert Suresh.

Wang itu didakwa diterima sebagai upah melantik ATSH menjadi subkontraktor kepada AISB, bagi menyiapkan sebuah blok asrama 10 tingkat dan kemudahan di Institut Kemahiran Tinggi PERDA (PERDA-TECH) di Bukit Panchor, Seberang Perai Selatan menggunakan Sistem Binaan Industri (IBS) yang bernilai RM23,268,215.35.

Kesemua kesalahan itu, didakwa dilakukan di sebuah bank di Jalan Perda Selatan, Bandar Perda dekat sini antara 26 Jun 2025 hingga 9 Julai 2026.

 Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Lim Jin Hong dan Nurnajihatul Idayu Mohd Azuyar.

Shaik Hussein diwakili tujuh peguam diketuai Datuk Amer Hamzah Arshad bersama-sama Datuk Hasnal Rezua Merican, Mohd Shahrullah Khan, Simon Tan, Dr. Shamsher Singh Thind, Muzzammil Merican serta Intan Nur Alia Nodzri. 

Terdahulu, Lim dan Nurnajihatul Idayu menawarkan jaminan RM1 juta dengan syarat tambahan tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah, melaporkan diri di pejabat SPRM setiap bulan dan tidak mengganggu saksi pendakwaan.

Bagaimanapun, Amer Hamzah menyifatkan jumlah jaminan ditawarkan pihak pendakwaan keterlaluan, memandangkan ia hanya untuk memastikan kehadiran anak guamnya di mahkamah.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM300,000 dengan syarat tambahan yang ditawarkan pihak pendakwaan dan menetapkan 8 Jan 2027 untuk sebutan semula kes.

Mahkamah turut membenarkan tertuduh untuk memohon mendapatkan semula pasport bagi tempoh dan tujuan tertentu, sekiranya terdapat keperluan.

-- BERNAMA

Fakta Segera: Jawapan Pantas Dari AI

  • Q: Siapakah individu yang didakwa dalam kes rasuah ini? 
    A: Individu yang didakwa ialah Datuk Dr Shaik Hussein Mydin, pengerusi sebuah badan berkanun di Pulau Pinang.
  • Q: Berapakah jumlah wang rasuah yang didakwa diterima oleh tertuduh? 
    A: Tertuduh didakwa menerima wang rasuah berjumlah RM847,107.61 melalui beberapa transaksi.
  • Q: Apakah projek yang berkaitan dengan pertuduhan rasuah ini? 
    A: Projek berkaitan ialah pembinaan sebuah blok asrama 10 tingkat dan kemudahan di Institut Kemahiran Tinggi PERDA (PERDA-TECH) di Bukit Panchor, Seberang Perai Selatan menggunakan Sistem Binaan Industri (IBS) bernilai RM23,268,215.35.
  • Q: Apakah hukuman yang boleh dikenakan jika tertuduh didapati bersalah? 
    A: Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.
  • Q: Berapakah jumlah jaminan yang ditetapkan oleh mahkamah dan apakah syarat tambahan yang dikenakan? 
    A: Mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM300,000 dengan syarat tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah, melaporkan diri di pejabat SPRM setiap bulan, dan tidak mengganggu saksi pendakwaan.

Must Watch Video

Advertisement