JOHOR BAHRU: Kesedaran soal kesihatan mental perlu dititik beratkan dalam kalangan masyarakat agar dapat dikesan lebih awal dan langkah pencegahan dapat diambil, titah Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris, hari ini.

"Perhatian lebih berat perlu diberikan terhadap isu kesihatan mental kerana ia boleh dibantu dan kesan buruknya dicegah, bermula daripada kalangan ahli keluarga kita sendiri atau anggota masyarakat sekeliling kita.

"Saya berharap masyarakat menyedari bahawa ada badan bukan kerajaan (NGO) yang sentiasa sedia menolong mereka yang berasa gelisah atau sedang menghadapi masalah-masalah peribadi melalui panggilan telefon, seperti Samaritan, misalnya," titah baginda, yang disiar di dalam Facebook The Royal Johor.

 
Sumber Facebook TheRoyalJohor

Menurut Permaisuri Johor, tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berpanjangan telah memberi kesan kepada kesihatan mental lapisan masyarakat.  

“Peraturan-peraturan ini, walaupun bertujuan melindungi kita daripada bahaya pandemik ini, turut dilihat sebagai kekangan yang menyukarkan kita menjalani kehidupan seharian yang telah biasa kita nikmati.

“Ramai dalam kalangan rakyat telah kehilangan kerja atau punca pendapatan dan menghadapi kesulitan kewangan. Keadaan ini amat mencabar, terutamanya dari aspek kesihatan mental,” titah baginda.