KOTA KINABALU: Penggiat industri seni tempatan khususnya yang menjalankan penggambaran di kawasan Borneo iaitu di Sabah dan Sarawak diingatkan supaya mendapatkan permit daripada agensi kerajaan negeri masing-masing terlebih dahulu.

Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) Borneo Mohammad Rizal Mohamed Yunus berkata walaupun produksi berkenaan mempunyai lesen yang telah dikeluarkan oleh Finas, mereka juga tertakluk mengikut peraturan yang telah ditetapkan oleh negeri berkenaan.

"Untuk menjalankan penggambaran memang perlu ada lesen Finas tetapi apabila masuk ke Sabah mereka perlu mendapatkan permit dengan kerajaan negeri bagi memastikan setiap penggambaran terkawal terutamanya di kawasan-kawasan yang memerlukan permit," katanya kepada pemberita sempena Program Kupi-Kupi Borneo 2023 di sini hari ini.

Mohammad Rizal berkata ketetapan oleh kerajaan negeri itu adalah sebagai usaha bagi mengawal kandungan filem yang dihasilkan oleh produksi terutamanya jika ia melibatkan penggambaran di dalam kawasan pelancongan.

Dalam pada itu, Mohammad Rizal berkata Finas juga telah memberi lanjutan tempoh hingga 31 Dis tahun ini kepada produksi yang berstatus Enterprise untuk menaik taraf kepada syarikat Sdn Bhd selain mempunyai masa untuk mendapatkan modal sebanyak RM50,000 seperti yang telah ditetapkan syarat untuk memperoleh lesen Finas.

Mengenai program itu, beliau berkata ia bertujuan menyalurkan ilmu pengetahuan serta menyediakan ruang kepada penggiat seni kreatif di Sabah berkongsi pengalaman serta bertukar pendapat.

-- BERNAMA