KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu melabur lebih banyak untuk menambah baik sistem pengangkutan awam menerusi Bajet 2023 terutamanya bagi rangkaian jalan raya di Pantai Timur, Sabah dan Sarawak untuk menangani kesesakan lalu lintas yang semakin buruk di negara ini, menurut penggiat industri.

Pengarah Urusan syarikat perunding alam sekitar ERE Consulting Group Sdn Bhd Dr G Balamurugan berkata, Sabah amat memerlukan sistem pengangkutan awam yang lebih baik terutamanya di Kota Kinabalu.

Sehubungan itu, beliau berharap kerajaan akan menyediakan peruntukan yang lebih baik dalam pembentangan bajet pada 7 Oktober.

"Kami juga berharap Transit Aliran Ringan (LRT) di Pulau Pinang akan dapat beroperasi tidak lama lagi. Transit Aliran Autonomi (ART) Kuching juga sepatutnya bakal beroperasi pada tahun depan dan kami berharap bajet tersebut akan menyokong inisiatif-inisiatif ini," katanya kepada Bernama.

Perkhidmatan penumpang bagi ART, sistem kereta api tanpa landasan yang direka bentuk untuk pengangkutan penumpang awam bandar akan diperkenalkan secara berperingkat mulai suku keempat 2025.

"Kami melihat sektor pengangkutan sebagai sektor amat penting kepada negara untuk melabur pasca pandemik COVID-19 termasuk projek Laluan Lingkaran Transit Aliran Massa (MRT3), Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan Sistem Transit Rapid (RTS) berikutan projek-projek ini akan merangsang industri rel Malaysia ke persada dunia," katanya.

Balamurugan berkata beliau berharap kerajaan akan memulakan laluan rel lain seperti Seremban Bypass dan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura untuk menyediakan perkhidmatan pengangkutan awam yang bersepadu, berpatutan dan lancar.

Baru-baru ini, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata pelaksanaan beberapa projek berskala besar tidak akan ditangguhkan memandangkan nilai projek-projek ini telah ditetapkan mengikut perjanjian awal meskipun ringgit menyusut pada masa ini.

Beliau berkata projek-projek lain termasuk ECRL, MRT 2, MRT 3, Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas-JB Sentral dan RTS ke Singapura akan diteruskan seperti dijadualkan.

Sehubungan itu, Wee berkata kementerian itu akan menubuhkan sebuah institusi yang dikenali sebagai Perbadanan Pembangunan Kereta Api Malaysia (MRDC) dalam usaha memperkasakan industri rel negara.

-- BERNAMA