KUALA LUMPUR: Penggubalan Akta E-Dagang yang baharu perlu disegerakan bagi memperkukuh perlindungan pengguna serta memastikan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta peniaga tempatan mampu bersaing dalam ekosistem digital yang semakin kompleks.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Dr Fuziah Salleh berkata langkah itu penting bagi menutup kelompongan dalam Akta Perdagangan Elektronik 2006, khususnya melibatkan perlindungan pengguna dan transaksi rentas sempadan.
Beliau berkata pada masa sama, kerangka e-dagang negara perlu bergerak seiring dengan perkembangan teknologi serta perubahan cara rakyat membeli dan berniaga.
“Kita perlu melindungi PMKS dan peniaga tempatan. Harga yang kompetitif memang memberi manfaat kepada pengguna tetapi jangan sampai wujud persaingan yang tidak seimbang sehingga peniaga tempatan kehilangan pasaran dan mata pencarian pada masa hadapan,” katanya menerusi hantaran di Facebook semalam.
Fuziah berkata penjual asing yang menjalankan perniagaan kepada pengguna di negara ini juga perlu mempunyai tahap tanggungjawab dan pematuhan yang jelas bagi melindungi pengguna daripada penipuan, penjualan produk tidak selamat atau pertikaian.
“Tanggungjawab platform e-dagang juga perlu diperjelaskan kerana platform masa kini bukan lagi sekadar tempat menemukan penjual dan pembeli. Pengaruhnya semakin besar dalam menentukan bagaimana produk dipasarkan, dijual dan sampai kepada pengguna,” katanya.
Selain itu, Fuziah berkata penyertaan asing dalam sektor e-dagang juga perlu memberi nilai tambah kepada Malaysia menerusi pelaburan, peluang pekerjaan, pembangunan bakat, pemindahan teknologi serta pembukaan lebih banyak ruang kepada perusahaan tempatan dalam rantaian bekalan.
“Kita mahu perdagangan dan penyertaan asing benar-benar memberi nilai tambah kepada Malaysia, termasuk membawa pelaburan, peluang pekerjaan, pembangunan bakat, pemindahan teknologi dan membuka lebih banyak ruang kepada perusahaan tempatan dalam rantaian bekalan.
“Kita bukan hanya bercakap soal harga murah tetapi bagaimana untuk mewujudkan ekosistem yang lebih sihat supaya PMKS dan peniaga tempatan mempunyai ruang untuk berkembang dan bersaing dengan lebih adil,” katanya.
Pada Khamis lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan akan mempercepat penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) e-dagang bagi menambah baik aspek kemudahan dan kawal selia sektor berkenaan, selaras dengan kepesatan perniagaan digital masa kini.
Anwar berkata langkah itu penting bagi memastikan ekosistem e-dagang berkembang secara teratur, di samping memberikan kemudahan dan perlindungan kepada semua pihak, termasuk golongan muda serta usahawan baharu.
-- BERNAMA