MALAYSIA

Penggunaan AI disasar sumbang RM60 bilion untuk KDNK - MOSTI

Asyraf Malik 28/08/2025 | 09:47 MYT
MRANTI AI Connect 2025 mengumpulkan pemain industri daripada pelbagai latar belakang untuk membincangkan aplikasi AI dalam sektor tenaga, agrikultur, pendidikan, kesihatan serta kewangan. - Foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Malaysia mengorak langkah penting ke arah menjadi kuasa besar kecerdasan buatan (AI) dengan pelancaran MRANTI AI Connect 2025, iaitu sebuah forum inovasi AI peringkat nasional di Taman MRANTI, di sini pada Khamis.


Ringkasan AI
  • Malaysia melancarkan MRANTI AI Connect 2025, forum inovasi kecerdasan buatan (AI) peringkat nasional, sebagai langkah strategik mempercepat pengkomersialan teknologi AI.
  • Menteri MOSTI, Chang Lih Kang menegaskan AI kini menjadi keperluan negara dan menyasarkan Malaysia tersenarai dalam 20 ekonomi AI terbaik dunia menjelang 2030.
  • Forum menghimpunkan pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, syarikat teknologi global dan penyelidik untuk membincangkan aplikasi AI dalam sektor utama seperti tenaga, kesihatan dan pendidikan.


Inisiatif ini dilaksanakan di bawah Sandbox Teknologi dan Inovasi Nasional (NTIS), ia bertujuan mempercepat pengkomersialan penggunaan AI melalui program terancang.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Chang Lih Kang menegaskan AI kini bukan lagi teknologi futuristik tetapi satu keperluan negara.

"Kecerdasan buatan menjadi keperluan untuk masa depan ekonomi Malaysia.

"Melalui Pelan Hala Tuju AI Kebangsaan 2021–2025, kami menyasarkan untuk memasuki senarai 20 ekonomi AI terbaik dunia menjelang tahun 2030.

"Sekali gus menyumbang lebih RM60 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK)," ujar Chang ketika ucapan perasmian.

Forum tersebut menghimpunkan agensi kerajaan, pemimpin korporat, penyelidik, pelabur, syarikat pemula, serta gergasi teknologi global untuk membincangkan aplikasi AI dalam sektor tenaga, agrikultur, pendidikan, kesihatan serta kewangan.

"Kerajaan komited membina ekosistem AI yang inklusif, selamat dan berdaya tahan, Malaysia wajar berubah daripada hanya pengguna AI kepada pembina, peneraju dan pengeksport teknologi AI.

"AI mesti dilihat sebagai pencipta peluang pekerjaan berkemahiran tinggi serta meningkatkan kualiti hidup rakyat, AI berkhidmat kepada rakyat, bukan menggantikan mereka.

"AI memperkasakan, bukannya mengecualikan. Ia juga mesti mencerminkan nilai Malaysia, aspirasi Malaysia, dan identiti Malaysia. AI akan diterapkan secara beretika, inklusif dan bertanggungjawab sejajar agenda Ekonomi MADANI," jelas Chang.

MRANTI AI Connect bakal menjadi pusat kecemerlangan nasional untuk AI, platform ini menempatkan AI Sandbox dan KL20 AI Infrastructure Enablement, memastikan Malaysia memiliki kapasiti teknologi setara kuasa besar dunia.



#kecerdasan buatan #KDNK #MOSTI #MRANTI AI Connect 2025