Skip to main content

Malaysia

Penggunaan media sosial dalam kalangan warga emas perlu diberi perhatian

Warga emas perlu diberikan pendedahan dan advokasi berterusan supaya lebih berhati-hati ketika menggunakan media sosial serta berinteraksi dalam dunia Internet. - Gambar hiasan
Warga emas perlu diberikan pendedahan dan advokasi berterusan supaya lebih berhati-hati ketika menggunakan media sosial serta berinteraksi dalam dunia Internet. - Gambar hiasan

Advertisement

MELAKA: Peningkatan penggunaan media sosial dalam kalangan warga emas perlu diberi perhatian berikutan golongan itu turut terdedah kepada risiko penipuan yang boleh mengakibatkan kerugian besar termasuk kehilangan wang pencen dan simpanan.

Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Malaysia Datuk Che Murad Sayang Ramjan berkata situasi itu memerlukan warga emas diberikan pendedahan dan advokasi berterusan supaya lebih berhati-hati ketika menggunakan media sosial serta berinteraksi dalam dunia Internet.

Beliau berkata susulan peningkatan kes yang agak membimbangkan, JKM melalui Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) dengan kerjasama agensi berkaitan termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) secara berterusan melaksanakan program kesedaran bagi membendung golongan itu daripada menjadi mangsa penipuan.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Sambutan Hari Warga Emas Peringkat Kebangsaan 2026 di Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh di sini hari ini. 

Terdahulu, sambutan dengan tema Warga Emas Disayangi, Negara Harmoni itu dirasmikan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri. 

Mengulas lanjut, Che Murad Sayang berkata selain memberi kesedaran kepada warga emas, JKM turut menggalakkan anak-anak supaya memainkan peranan memantau ibu bapa mereka bagi memastikan golongan itu tidak mudah terpedaya dengan penipuan dalam talian.

Beliau berkata langkah itu penting kerana faktor kesunyian khususnya dalam kalangan warga emas yang tinggal bersendirian boleh menyebabkan mereka lebih banyak menghabiskan masa menonton televisyen atau melayari media sosial.

"Jadi, ini yang kita kena beri pendedahan supaya mereka tidak terlibat dalam perkara-perkara tersebut," katanya.

Che Murad Sayang juga berkata JKM akan terus memberikan kerjasama terhadap sebarang keputusan dan usaha kementerian berkaitan kebajikan serta perlindungan golongan berkenaan termasuk Rang Undang-Undang Perlindungan Warga Emas.

Beliau berkata sebagai jabatan pelaksana, JKM komited memastikan kebajikan warga emas sentiasa terbela menerusi pelaksanaan operasi, program advokasi dan aktiviti berkaitan golongan berkenaan.

"Sudah tentu kita menyokong apa jua keputusan yang dilaksanakan di peringkat kementerian dan insya Allah, akan sentiasa memberi kerjasama untuk memastikan kebajikan warga emas ini sentiasa terbela," katanya. 

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement