MALAYSIA

Penggunaan pembahagian amat kritikal dalam melindungi eksport ayam itik - DVS

Bernama 22/01/2026 | 10:30 MYT
Virus selesema burung (H5N1) yang sangat patogenik tidak lagi berlaku secara bermusim tetapi telah bertukar sebagai ancaman global sepanjang tahun. - Gambar hiasan/Pexels
KUALA LUMPUR: Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) menggesa pengeluar ayam itik supaya segera menerima pakai langkah pembahagian untuk melindungi eksport ayam itik Malaysia berikutan peningkatan risiko penyakit global dan peraturan perdagangan antarabangsa yang semakin ketat.

Konsep pembahagian ini, yang diperkenalkan oleh Pertubuhan Kesihatan Haiwan Sedunia (OIE), bertujuan mengurangkan sekatan perdagangan antarabangsa yang dikenakan apabila penyakit eksotik dikesan di negara pengeluar.

Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar (Kesihatan Veterinar), Dr Aida Muhid berkata perkembangan global, termasuk peralihan ke arah perdagangan berasaskan pengezonan semasa wabak penyakit, kini memerlukan amalan biosekuriti dan pembahagian yang lebih kukuh bagi memastikan kesinambungan eksport.

"DVS terus komited untuk membantu lebih ramai pemain industri dalam mengguna pakai standard biosekuriti peringkat tinggi ini. Dengan memperoleh pengiktirafan tersebut, kami bukan sahaja menjaga reputasi perdagangan negara tetapi turut memastikan produk ayam itik Malaysia kekal berdaya saing dan berdaya tahan di peringkat global," katanya pada seminar mengenai transformasi industri ayam itik di sini hari ini.

Dr Aida berkata industri itu sedang menghadapi landskap penyakit baharu, dengan virus selesema burung (H5N1) yang sangat patogenik tidak lagi berlaku secara bermusim tetapi telah bertukar sebagai ancaman global sepanjang tahun.

"Selain itu, penyakit yang mencabar kemampanan industri ternakan ayam termasuk mutasi virus seperti Penyakit Marek dan Virus Bronkitis Berjangkit (IBV), yang semakin berupaya memintas perlindungan vaksin sedia ada, memerlukan usaha selangkah ke hadapan melalui inovasi dalam sains veterinar," katanya.

Beliau berkata industri ternakan ayam itik Malaysia kekal sebagai tonggak utama keselamatan makanan negara, dengan nisbah sara diri (SSR) daging ayam itik meningkat kepada 93.8 peratus pada 2024 berbanding 91.4 peratus pada 2023, manakala SSR telur menokok kepada 107 peratus daripada 106.5 peratus dalam tempoh yang sama.

"Bagaimanapun, di bawah Dasar Agromakanan Negara 2.0 (DAN 2.0), Malaysia telah menetapkan garis masa yang agresif bagi menjamin kedaulatan makanan, menyasarkan SSR daging ayam itik sebanyak 120 peratus pada 2026 dan 140 peratus menjelang 2030, manakala SSR telur diunjurkan mencapai 108 peratus pada 2026 dan 123 peratus pada 2030," katanya.

Sementara itu, Presiden Persekutuan Persatuan-Persatuan Penternak Malaysia (FLFAM), Sim Zhi Zhan berkata pengembangan ladang ternakan ayam itik adalah penting untuk meningkatkan tahap sara diri Malaysia dalam pengeluaran ayam dan beliau memohon agensi kerajaan agar menyegerakan proses kelulusan ladang baharu.

"Kadangkala kelewatan ini menyukarkan industri untuk bertindak balas dengan cepat kepada keperluan bekalan, walaupun ia bertujuan bagi mengimbangi pengeluaran makanan dengan keseimbangan alam sekitar. Kami mahu membekalkan protein berkualiti tinggi kepada negara tetapi kami juga perlu mengimbangi kebimbangan alam sekitar. Inilah cabaran yang sedang dihadapi oleh industri ini sekarang," katanya kepada Bernama semasa di luar seminar itu.

Beliau berkata komunikasi yang lebih baik antara pihak berkuasa dan pemain industri boleh membantu menangani cabaran yang dihadapi oleh penternak ayam itik.

Seminar itu turut memperkenalkan "Buku Panduan Industri Ayam Itik Malaysia - Jalan Ke Hadapan," yang diterbitkan oleh Produktiviti Nexus Agro-makanan (AFPN) Malaysia dengan kerjasama Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) dan FLFAM.

Diterbitkan buat kali pertama pada November 2023 dan dicetak semula tahun ini, buku panduan itu menggariskan pembangunan industri ternakan ayam itik Malaysia selain menyerlahkan cabaran utama, termasuk keperluan kawal selia, kemampanan dan amalan industri, sambil berfungsi sebagai rujukan untuk penternak dan pihak berkepentingan.

-- BERNAMA


#DVS #eksport ayam itik #Jabatan Perkhidmatan Veterinar #pembahagian #risiko penyakit