Penggunaan teknologi digital meningkat ketika pandemik COVID-19 - LPPKN

Bernama
Mei 15, 2021 06:51 MYT
Tinjauan itu turut mendapati lebih separuh daripada responden menyatakan bahawa penggunaan teknologi digital semasa bekerja dari rumah telah meningkatkan tahap produktiviti kerja mereka. - Gambar hiasan
PUTRAJAYA: Tinjauan pendapat umum berkaitan kesan COVID-19 terhadap institusi keluarga pada tahun lepas hingga 2021 mendapati penggunaan teknologi digital semakin meningkat pada zaman pandemik COVID-19, kata Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN).
Menurut kenyataan LPPKN hari ini, tinjauan itu turut mendapati lebih separuh daripada responden menyatakan bahawa penggunaan teknologi digital semasa bekerja dari rumah telah meningkatkan tahap produktiviti kerja mereka.
Majoriti ibu bapa pula bersetuju akan pentingnya pembelajaran anak-anak secara dalam talian semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah membantu mereka memastikan proses pembelajaran anak-anak dapat diteruskan, kata agensi tersebut.
Menurut LPPKN, hasil dapatan itu adalah selari dengan tema sambutan Hari Keluarga Antarabangsa 2021 iaitu 'Keluarga dan Teknologi Baharu' yang dipilih Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
"Bersempena sambutan Hari Keluarga Antarabangsa tahun ini, ibu bapa disaran berusaha meningkatkan kemahiran penggunaan teknologi khususnya aplikasi digital bagi membimbing anak-anak menggunakan teknologi secara berhemah dan berfaedah tanpa mengasingkan nilai dalam sesebuah keluarga serta masyarakat," kata LPPKN.
LPPKN dalam pada itu berkata program rintis pendidikan keibubapaan menerusi aplikasi WhatsApp telah diperkenalkan khusus kepada golongan keluarga berpendapatan rendah di komuniti Projek Perumahan Rakyat hasil kerjasama LPPKN, Tabung Kanak-Kanak PBB (UNICEF) dan Universiti Putra Malaysia.
Bagi kumpulan sasar di luar bandar, LPPKN dengan kerjasama agensi Kementerian Pembangunan Luar Bandar serta Kementerian Komunikasi dan Multimedia sedang mengadakan siri kursus keibubapaan dalam talian bagi memberi peluang ibu bapa di luar bandar mendapat pendidikan kekeluargaan menerusi kemudahan Pusat Internet Komuniti di seluruh negara, katanya.
LPPKN berkata inisiatif tersebut berkait rapat dengan penggunaan teknologi baharu khususnya teknologi digital bagi memastikan pembangunan masyarakat yang menyeluruh bermula dengan institusi keluarga.
-- BERNAMA
#COVID-19 #LPPKN #teknologi digital #PKP #perintah kawalan pergerakan #Tabung Kanak-Kanak UNICEF #Universiti Putra Malaysia #Hari Keluarga Antarabangsa 2021