Penggunaan 'vape' untuk rawat ketagihan rokok perlu dilihat secara meluas - Pakar

Hilmi Malik
Februari 2, 2023 04:18 MYT
Penggunaan rokok elektronik jauh lebih baik sekiranya dibandingkan dengan kandungan kimia di dalam rokok tembakau. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR : Sebahagian besar rakyat di negara ini masih lagi terperangkap dalam mencari jalan keluar daripada ketagihan merokok, malah beban merokok di kalangan rakyat Malaysia tidak menunjukkan penurunan ketara sejak beberapa tahun.
Keadaan diburukkan lagi dengan kemasukkan rokok haram (contraband), yang jauh lebih murah dan di jual secara haram.
Ini memudahkan orang ramai membeli rokok tembakau termasuk kanak-kanak serta remaja dan kesannya dapat dilihat apabila penyakit tidak berjangkit seperti jantung iskemia, kanser dan penyakit respiratori menjadi antara penyakit tertinggi negara sejak sedekad lalu dan antara penyumbang terbesar adalah rokok serta gaya hidup sedentari.
Seterusnya kos merawat penyakit akibat rokok menjadi beban negara yang tinggi dan tidak dapat lagi diurus dalam jangka masa panjang.
Ramai yang mendakwa, penggunaan rokok mampu memberikan ketenangan terutamanya bagi kelompok perokok tegar dan ini adalah akibat ketagihan tembakau dan nikotin yang tinggi kepada perokok yang mengakibatkan kesan psikologi dan fizikal akibat ketagihan.
Pakar Perubatan Kesihatan Masyarakat, Fakulti Perubatan UKM, Prof Dr Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, hakikatnya rokok yang mungkin sudah sebati dalam diri seseorang itu, sebaliknya, lebih banyak meninggalkan kesan memudaratkan organ badan dan kesan kerugian ekonomi isi rumah perokok.
Dalam pada itu, beliau juga menyedari kehadiran produk alternatif untuk menggantikan rokok menerusi penggunaan rokok elektronik atau ‘vape’ yang melalui proses regulasi yang sesuai selari proses setara di negara maju.
Regulasi ini termasuk ujian kandungan cecair peranti (e-liquid), telah melalui ujian dan spesifikasi makmal yang ketat, mempunyai pelabelan kepekatan nikotin yang jelas, peranti yang ohm dan voltage yang selamat, peranti tidak mudah untuk diubah suai (sistem tertutup) dan tidak mengandungi diacetyl, vitamin E acetate, kontaminasi akibat microorganisma serta hanya menggunakan beberapa perisa yang dibenarkan.
Kajian mendapati, kaedah itu jauh lebih baik jika dibandingkan dengan penggunaan rokok tembakau yang mempunyai kandungan kimia yang tinggi, yang akhirnya ketagihan yang lebih parah.
Namun, penggunaan rokok elektronik itu perlu difahami dengan konteks yang sangat meluas.
“Kalau kita bandingkan vape dengan rokok tembakau yang ada pelbagai bahan kimia, vape (yang diregulasi) adalah jauh lebih selamat dan kesan sampingan juga kita lihat lebih rendah.
‘’Vape bukan bertujuan digunakan oleh bukan perokok dan bukan untuk mencuba-cuba,’’ katanya kepada Astro AWANI.
Bagaimanapun, ramai penjual turut menjual vape haram kepada remaja dan kanak-kanak secara haram, dalam pelbagai bentuk dan perisa, dan ini menggalakkan remaja kepada ketagihan nikotin dan kemungkinan kontaminasi dadah seperti ganja atau ketum.
Penjual sebegini patut menerima tindakan keras daripada pihak berkuasa dan persatuan vape.
Terapi gentian nikotin, NRT adalah terapi terbaik, sekarang boleh dibeli di kaunter atau OTC, tetapi untuk mereka yang tidak serasi atau kurang sesuai dengan NRT, maka alternatif lain adalah perlu diberi kepada mereka yang rata rata golongan B40.
‘’Pemantauan vape di negara ini masih kurang jika dibandingkan dengan negara luar kerana ia memerlukan pemantauan kakitangan yang faham akan ‘ketagihan nikotin. Negara juga tiada garis panduan khusus untuk memantauan, makmal khas untuk memeriksa cecair vape dan nasihat dos sesuai untuk digunakan bagi mengelakkan dual user, menggalakkan switching (peralihan ke rokok elektronik)” katanya lagi.
Dalam pada itu, Dr Sharifa berpendapat, penguatkuasaan berhubung perkara itu juga masih dilihat lemah yang mengakibatkan isi kandungan di dalam cecair rokok eletronik sukar dipantau.
Keadaan itu juga mampu mendatangkan risiko campuran di dalam cecair rokok elektronik berdasarkan sukatan yang dibenarkan.
“Ini termasuk kandungan nikotin kerana ada pihak yang menyatakan produk mereka tidak mengandungi nikotin namun sebaliknya berlaku. Risiko menggunakan nikotin dos tinggi juga turut berlaku , malah pengguna boleh membeli secara online dan bahaya nya mereka tidak faham.
“Di negara luar penggunaan vape dijadikan sebagai terapi untuk berhenti rokok atau kaedah tambahan untuk lari dari ketagihan tersebut maka pemantauan yang lebih ketat itu memang perlu,” kata beliau lagi.
Kaedah itu juga, katanya, perlu dilihat dari sudut yang positif iaitu usaha untuk mengeluarkan seseorang individu itu daripada masalah ketagihan.
Sekiranya seseorang itu mampu beralih kepada penggunaan rokok elektronik maka secara tidak langsung langkah itu juga mampu mengurangkan ketagihan seseorang individu itu secara berperingkat.
Sekurang-kurangnya, mereka tidak terdedah kepada wasap dan tar, bahan kimia yang jelas bertimbun dalam rokok tembakau tradisional.
Bagi mereka yang ingin mendapatkan bantuan pemulihan dan rawatan pelbagai jenis ketagihan dengan bantuan pakar dan kaedah luar kotak boleh menghubungi www.solaceasia.org untuk maklumat lanjut.
Tonton video penuh:
#rokok elektronik #rawat ketagihan #Solace Asia #Prof Dr Sharifa Ezat Wan Puteh