[LAPOR LANGSUNG] Inkues Zara Qairina – Kemas Kini Terkini & Fakta Penting – Ikuti Di Sini.
MALAYSIA

Penghantar barang, mekanik didenda RM6,000 curi kabel Telekom Malaysia

Bernama 09/09/2025 | 09:53 MYT
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan. - Gambar hiasan
KANGAR: Seorang penghantar barang dan mekanik masing-masing didenda RM6,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mencuri kabel Telekom Malaysia, Sabtu lepas.

Majistret Ana Rozana Mohd Nor turut memerintahkan penghantar barang Mohamad Firdaus Maula Mohd Rodzhi, 32, serta mekanik Mohammad Hasrul Akmal Roslan, 28, menjalani hukuman penjara 12 bulan sekiranya mereka gagal membayar denda berkenaan.

Berdasarkan pertuduhan, kedua-dua mereka dengan seorang lagi yang masih bebas dituduh mencuri kabel berwarna hitam milik Telekom Malaysia bertempat di Lorong Maju 3, Taman Kemajuan di sini pada 3.31 pagi, 6 Sept lepas.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-dua sekali jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Natasha Azmi manakala Mohamad Firdaus Maula diwakili Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Nur Ayuni Ahmad dan Peguam YBGK Muhamad Amirul Mansor mewakili Mohammad Hasrul Akmal.

-- BERNAMA


#Curi Kabel #Telekom Malaysia #denda #mahkamah #mekanik #penghantar barang didakwa