MALAYSIA

Penghantar makanan, peniaga lega nikmati penjimatan melalui BUDI95

Bernama 28/09/2025 | 09:53 MYT
Rata-rata penerima STR menyambut baik pelaksanaan inisiatif itu memandangkan mereka, termasuk peniaga kecil, pemandu e-hailing dan penghantar makanan, bergantung sepenuhnya pada penggunaan kenderaan setiap hari untuk mencari rezeki. - Gambar/ Bernama
PETALING JAYA: Penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dalam kalangan penghantar makanan dan peniaga kecil menyifatkan inisiatif subsidi petrol RON95 menerusi program Budi MADANI RON95 (BUDI95) sebagai sangat membantu dalam mengurangkan kos operasi harian mereka.


Ringkasan AI
  • Penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) seperti penghantar makanan dan peniaga kecil menyambut baik subsidi petrol RON95 melalui program BUDI95 kerana ia membantu mengurangkan kos operasi harian mereka.
  • Program ini dianggap adil dan telus kerana hanya dinikmati oleh warganegara Malaysia, dengan proses pengisian minyak yang mudah menggunakan MyKad sama ada di kaunter atau mesin pam.
  • BUDI95 akan dilaksanakan sepenuhnya pada 30 September, melibatkan 16 juta rakyat Malaysia yang memiliki MyKad dan lesen memandu aktif, dengan maklumat lanjut boleh didapati di portal rasmi atau talian bantuan.


Tinjauan Bernama mendapati rata-rata penerima STR menyambut baik pelaksanaan inisiatif itu memandangkan mereka, termasuk peniaga kecil, pemandu e-hailing dan penghantar makanan, bergantung sepenuhnya pada penggunaan kenderaan setiap hari untuk mencari rezeki.

Bagi penghantar makanan, Sharil Naufal, 24, penjimatan hasil subsidi berkenaan memberi kesan besar meskipun kadar pengurangan kelihatan kecil.

"Penurunan harga petrol itu nampak sedikit, tetapi jika dikira sebulan, jumlah penjimatan jadi banyak. Duit lebih itu boleh saya gunakan untuk belanja makanan atau buat simpanan.

"Kadang-kadang bila ada tempahan jauh, saya tidak terlalu risau kerana sekarang mampu tanggung kos minyak tambahan," katanya ketika ditemui Bernama di Stesen Petron Subang Indah di sini, hari ini.

Seorang pemilik kedai bunga, Muhammad Firdaus Andi, 28, pula menyifatkan inisiatif BUDI95 sebagai langkah tepat kerana manfaatnya benar-benar dirasai rakyat.

"Sangat membantu, terutamanya bagi saya yang setiap hari berulang-alik dari rumah ke kedai. Yang penting, subsidi ini hanya dinikmati warganegara Malaysia, bukan orang luar. Saya anggap ini penambahbaikan besar kerana ia lebih adil dan telus," katanya.

Sementara itu, juruteknik automotif, Jiman Laweh, 38, berkata proses pengisian minyak di bawah BUDI95 amat mudah kerana hanya memerlukan MyKad.

"Prosesnya ringkas, boleh guna MyKad sama ada di kaunter atau terus di mesin pam minyak. Staf juga banyak membantu tunjuk cara penggunaan MyKad di mesin, jadi pelanggan tidak rasa susah," katanya.

Namun, beliau berharap sistem berkenaan dapat dipertingkatkan agar tiada masalah teknikal berlaku di sesetengah lokasi.

BUDI95 akan dilaksanakan sepenuhnya pada 30 Sept ini, melibatkan sebanyak 16 juta rakyat Malaysia yang memiliki MyKad dan lesen memandu aktif.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut dengan merujuk soalan lazim (FAQ) di portal rasmi BUDI95 di www.budimadani.gov.my atau menghubungi talian bantuan 1-300-88-9595.

-- BERNAMA



#BUDI95 #Str #e-hailing #Sumbangan Tunai Rahmah