Seorang lelaki yang mendakwa penghidap tibi dihukum penjara empat tahun dan dua sebatan atas pertuduhan menculik dan mencabul seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun, lima hari lalu.

Majistret Siti Shakirah Mohtarudin menjatuhkan hukuman tersebut terhadap G.Jagajasen, selepas dia mengaku bersalah.

Bagi pertuduhan menculik, Siti Shakirah menjatuhkan hukuman penjara satu tahun terhadap Jagajasen dan bagi pertuduhan mencabul, dia dihukum penjara tiga tahun dan dua sebatan.

Bagaimanapun, Siti Shakirah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara serentak bermula dari tarikh kejadian iaitu pada 17 Nov lepas.

Jagajasen, 35, didakwa menculik seorang pelajar tahun dua daripada penjagaan ibunya, di tepi Jalan Raja Laut, pada 9.45 pagi, 17 Nov lalu, dan didakwa mengikut Seksyen 361 Kanun Keseksaan yang dihukum mengikut Seksyen 363 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan boleh dikenakan sebatan.

Bagi tuduhan mencabul, dia turut didakwa menggunakan kekerasan jenayah dengan niat untuk mencabul kanak-kanak itu, di susur pejalan kaki di tepi sebuah sungai yang juga di bawah landasan sebuah stesen transit aliran ringan (LRT), di sini pada 10.45 pagi, hari yang sama.

Pertuduhan itu didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara 10 tahun atau sebat atau kedua-duanya.

Terdahulu, Jagajasen memohon mahkamah agar meringankan hukuman yang dijatuhkan kerana menghidap penyakit tibi dan sedang menjalani pemeriksaaan di Hospital Kuala Lumpur.

Dia juga memberitahu mahkamah bahawa dia telah insaf dan tidak akan mengulangi perbuatan yang sama.

Pendakwaan dikendalikan pegawai pendakwa Inspektor Zuraimi Kamarozzaman manakala tertuduh tidak diwakili peguam.