NATIONAL
Penghormatan kepada perajurit nilai berterusan diterapkan Malaysia, AS - Samuel Paparo

Penghormatan kepada perajurit yang mempertaruhkan nyawa demi kesejahteraan negara merupakan nilai yang akan terus diterapkan Malaysia dan Amerika Syarikat. - Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Penghormatan kepada perajurit yang mempertaruhkan nyawa demi kesejahteraan negara merupakan nilai yang akan terus diterapkan Malaysia dan Amerika Syarikat.
Panglima Pemerintah Indo-Pasifik AS, Laksamana Samuel Paparo yang melawat Tugu Negara pada Khamis memberitahu monumen ikonik itu mempunyai keistimewaan tersendiri.
"Penghormatan kepada mereka yang meninggal dunia ketika berjuang untuk negara merupakan satu nilai yang diterapkan bersama antara Malaysia dan Amerika Syarikat.
"Tugu peringatan ini juga mempunyai makna yang istimewa bagi saya sebagai anak kepada seorang Marin Amerika yang mana Tugu Marin Korps (Tugu Peringatan Perang Kor Marin) telah diukir oleh pengukir yang sama, Felix de Weldon."Ia turut membangkitkan kekuatan, sebuah kehormatan buat mereka yang telah gugur ketika berkhidmat untuk negara," katanya ketika ditemui Astro AWANI di pekarangan Tugu Negara, Kuala Lumpur pada Khamis.
Paparo turut meletakkan kalungan bunga di hadapan tugu dengan diiringi Duta Besar Amerika dan Asisten Ketua Staf Perkhidmatan Anggota, Mejar Jeneral Datuk Reizal Arif Tan Sri Ismail.
Pada sebelah pagi, Paparo telah mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Dalam pada itu, Duta Besar Amerika ke Malaysia, Edgard D Kagan berkata, beliau berbesar hati dengan peluang berada di lokasi bagi memberi penghormatan kepada wira negara yang berkorban demi kemerdekaan Malaysia.
"Kami amat berbesar hati berpeluang hadir bagi memberi penghormatan kepada perajurit Malaysia yang berkorban demi kemerdekaan negara ini. Kami turut gembira bertemu Perdana Menteri bersama Menteri Pertahanan.
"Ini mencerminkan hubungan yang sangat kukuh antara negara kita yang juga melibatkan kerjasama keselamatan lebih meluas," katanya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami