MALAYSIA
Pengiktirafan global: Malaysia terajui ISSA untuk penggal kedua

Mohammed Azman sebelum ini dilantik sebagai Presiden ISSA ke-17 semasa Forum Keselamatan Sosial Dunia 2022 di Maghribi dan mula berkhidmat sejak 2023. - Gambar Bernama
KUALA LUMPUR: Malaysia kekal menerajui kepimpinan keselamatan sosial global dengan pemilihan semula Datuk Seri Mohammed Azman Aziz Mohammed sebagai Presiden Persatuan Keselamatan Sosial Antarabangsa (ISSA).
Tokoh yang diiktiraf sebagai pemimpin berwawasan dalam bidang keselamatan sosial itu meraih mandat kukuh daripada ahli institusi ISSA di seluruh dunia untuk penggal kedua.
Beliau sebelum ini dilantik sebagai Presiden ISSA ke-17 semasa Forum Keselamatan Sosial Dunia 2022 di Maghribi dan mula berkhidmat sejak 2023.
Kepercayaan ini sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia di barisan hadapan dalam usaha memperkasa sistem keselamatan sosial yang inklusif, berdaya tahan dan bersedia menghadapi cabaran masa depan.Mohammed Azman terkenal memperjuangkan prinsip "pencegahan sebelum pemulihan, pemulihan sebelum pampasan" yang telah berjaya diterjemah daripada aspirasi kepada amalan antarabangsa, memulihkan kehidupan, maruah dan harapan masyarakat.
Beliau berkata, laluan ke hadapan penuh dengan cabaran mendesak, termasuk krisis iklim yang menggugat sumber kehidupan, penuaan populasi yang menjejaskan sistem kesihatan dan perkhidmatan sosial, serta kemunculan bentuk pekerjaan baharu yang melemahkan model sumbangan tradisional.
"Isu-isu ini melebarkan jurang ketidaksamaan dan meningkatkan risiko penyisihan, di samping cabaran besar melindungi pekerja migran serta memastikan kemudahalihan faedah mereka merentasi sempadan.
"Pada masa sama, sistem keselamatan sosial berdepan ujian kritikal untuk mengekalkan pembiayaan mampan dalam ekonomi global yang tidak menentu, ketika populasi menua, kos penjagaan kesihatan meningkat dan ketidakpastian dunia terus memberi tekanan terhadap sumber," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Dalam konteks itu, Mohammed Azman menegaskan, pemilihan semula ini membawa misi besar untuk menangani realiti bahawa 3.8 bilion penduduk dunia masih tidak dilindungi keselamatan sosial.
Beliau menegaskan, tugas mendatang bukan sahaja untuk melindungi, tetapi juga memperkasa melalui kerjasama global agar tiada sesiapa yang ketinggalan dalam dunia yang pesat berubah.
Pemilihan semula itu turut membawa prestij kepada Malaysia, sekali gus mengesahkan komitmen negara terhadap keadilan, daya tahan dan inovasi dalam perlindungan sosial global.
Sepanjang penggal pertamanya, Mohammed Azman yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) telah menempatkan ISSA sebagai pusat dialog global, mempengaruhi dasar dan menjalin perkongsian dengan pelbagai badan antarabangsa.
Ini termasuk G20, kumpulan BRICS, Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD), Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) serta ASEAN.
Ditubuhkan pada 1927, ISSA mewakili lebih 330 ahli institusi di 164 negara dan kekal sebagai organisasi antarabangsa utama bagi kerjasama keselamatan sosial.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami