Penglibatan anak muda dalam politik perlu perancangan jelas - Khairul Anwar
Fareez Azman
Disember 5, 2021 21:15 MYT
Disember 5, 2021 21:15 MYT
KUALA LUMPUR: Berbaki kurang dua minggu sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak, harapan agar generasi muda dilibatkan secara langsung dalam tadbir urus serta pembuat polisi di peringkat negeri mahupun nasional terus disuarakan.
Bagi Setiausaha Agung Sarawak Volunteers, Khairul Anwar Shazali, pembangunan belia dengan perancangan yang lebih jelas amat dituntut dalam persekitaran semasa.
Menurut Khairul Anwar, adalah penting untuk negara melatih dan mendedahkan generasi muda dalam aspek kepimpinan.
Justeru, beliau mencadangkan agar ‘blueprint’ pembangunan belia dan anak muda diwujudkan.
"Blueprint itu perlu mudah diakses oleh generasi muda terutamanya melibatkan badan bukan kerajaan (NGO) belia sebagai rakan pembangunan negeri untuk kita sama-sama usahakan dan capai kerjasama dengan semua pihak berkepentingan perlu dilibatkan," jelasnya.
Beliau berkata demikian dalam wawancara bersama Astro AWANI pada Ahad.
Tambah Khairul lagi, penglibatan anak muda dalam politik negara juga tidak hanya bermusim terutama ketika pilihan raya sahaja.
Sebaliknya, katanya, penglibatan itu menuntut komitmen yang konsisten agar generasi itu tidak ketinggalan.
"Kita mungkin tidak dapat lihat perubahan itu secara jelas dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak pada 18 Disember 2021.
"Usaha (melibatkan anak muda) ini perlu disegerakan, perlu ada para pemimpin tampil menunjukkan budaya politik yang segar dan sihat.
"Harapan ini perlu diberikan generasi anak muda bukan sahaja dalam Dewan Undangan Negeri (DUN), tapi pemimpin belia dalam NGO, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), swasta yang sebenarnya menjadi penyumbang besar dalam budaya yang sihat di Sarawak," jelasnya lagi.
Mengulas lanjut mengenai kempen Undi18, tambah Khairul, meskipun belum diputuskan lagi untuk pelaksanaannya, namun harapannya agar intipati Undi18 dapat diterjemahkan oleh semua pihak.
"Sekiranya undi 18 dilaksanakan tidak lama lagi, ini perkembangan positif bagi memastikan penglibatan anak muda lebih aktif dalam suasana politik lebih sihat dan segar.
"Namun, kita tidak mahu kempen Undi18 bergiat cergas lima tahun sekali menjelang pilihan raya sahaja.. sebab itu perlu ada kandungan lebih jelas di dalam kempen Undi18 bagi memastikan intipati iaitu apa yang ingin dibawa dalam kempen Undi18 perlu diterjemahkan," ujarnya lagi.