NATIONAL
Penglibatan masyarakat, pembentukan karakter penting selesai isu sosial - Fadhlina
Fadhlina berkata, terdapat keperluan mendesak untuk merombak pendekatan pendidikan supaya lebih menyeluruh. - Gambar fail/Bernama
BANGI: Isu sosial seperti perkahwinan kanak-kanak, kehamilan remaja, keganasan rumah tangga dan konflik antara generasi tidak dapat diselesaikan tanpa penglibatan aktif masyarakat dan pembentukan pendidikan karakter.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, terdapat keperluan mendesak untuk merombak pendekatan pendidikan supaya lebih menyeluruh, merangkumi aspek nilai, akhlak, dan pembentukan peribadi pelajar selain memberi penekanan terhadap peranan ibu bapa dan komuniti dalam mendidik anak-anak.
Beliau turut menggariskan kebimbangan terhadap beberapa statistik sosial yang tidak menunjukkan perubahan positif, terutamanya berkaitan kadar perceraian yang kekal tinggi, kes wanita maut akibat keganasan rumah tangga dan isu ketidakharmonian dalam keluarga melibatkan warga emas serta kanak-kanak.
"Rumah tidak lagi selamat untuk wanita apabila ini berlaku dalam rumah dan wanita mati di tangan pasangan masing-masing," katanya ketika berucap pada program Pesona Inspirasi Keluarga MADANI, di sini, pada Selasa.
Sementara itu, beliau turut menekankan kepentingan modul Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PEERS) dalam menangani isu melibatkan remaja dan kanak-kanak.
"Saya tidak fikir ia masih lagi jadi taboo (pantang larang) dalam masyarakat tatkala krisis sosial berlaku dalam masyarakat," katanya.
Kementerian Pendidikan (KPM) akan menggunakan modul PEERS bermula tahun persekolahan 2027.
PEERS bakal diajar melalui kurikulum Pendidikan Kesihatan bermula peringkat prasekolah hingga sekolah menengah dan murid akan dilengkapi dengan maklumat serta kemahiran, khususnya kecekapan psikososial untuk membuat informed decisions dalam kehidupan harian.
-- BERNAMA