PUTRAJAYA: Sekolah rendah dan sekolah menengah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang dibenarkan untuk dibuka semula, akan menggunakan sistem penggiliran secara mingguan di dalam kelas, atau 50 peratus kehadiran sahaja.

Menteri Kanan Pendidikan Datuk Radzi Jidin berkata, penggunaan sistem penggiliran setiap minggu tersebut akan mengurangkan jumlah murid di dalam sesebuah kelas, sekali gus mengurangkan risiko sekiranya ada jangkitan COVID-19.

Dalam sidang media berkaitan pengoperasian sekolah hari ini, beliau berkata, melalui kaedah itu, 50 peratus kumpulan murid pertama akan hadir secara bersemuka, manakala 50 peratus lagi akan membuat Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

“Sistem penggiliran ini pertama sekali akan mengurangkan jumlah murid dalam kelas. Maka boleh mengurangkan risiko jangkitan dalam kelas. Dulu katalah, ada 36 orang murid, sekarang datang secara fizikal hanya 18 orang.

“Itu adalah satu kaedah baharu pendekatan baharu, selepas mengambil pandangan semua pihak, dan melihat apa terbaik dalam mencari jalan tengah, bagi memastikan anak-anak kita kembali ke sekolah dalam keadaan selamat,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian ketika menerangkan mengenai pengoperasian sekolah di negeri-negeri mengikut Fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN), yang bakal bermula 3 Oktober ini.

BERITA LANJUT MENYUSUL