[LAPOR LANGSUNG] 9 Aktivis Malaysia Pulang dari Misi Gaza – Ikuti Ketibaan Mereka di KLIA Sekarang!
MALAYSIA

Penguat kuasa diseru gembleng tenaga kurangkan nahas jalan raya

Bernama 12/10/2025 | 13:00 MYT
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Annuar Rapaee berkata langkah itu penting untuk mengurangkan kerugian akibat kemalangan jalan raya yang meningkat setiap tahun. - Gambar fail/BERNAMA
SIBU: Polis, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) diseru supaya menggembleng tenaga bagi memperkukuh mekanisme penguatkuasaan secara berterusan, sejajar aspirasi kerajaan untuk mengurangkan kadar kematian akibat nahas jalan raya sebanyak 50 peratus menjelang 2030.

Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Annuar Rapaee berkata langkah itu penting untuk mengurangkan kerugian akibat kemalangan jalan raya yang meningkat setiap tahun.

"Berdasarkan kajian dijalankan oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) pada 2024, dianggarkan sebanyak RM19.7 bilion kerugian dicatatkan setiap tahun akibat kemalangan jalan raya," jelasnya.

Beliau berkata sikap tidak bertanggungjawab dan kegagalan mematuhi peraturan jalan raya antara faktor utama yang menyumbang kepada peningkatan jumlah kemalangan yang menyebabkan kerosakan aset.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Setiausaha Politik Premier Sarawak Sayed Azmee Wan Junaidi pada majlis penutupan Program Bantuan Lesen Memandu Kelas B2 (MyLesen) peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Nangka di Dewan Universiti Teknologi Sarawak di sini hari ini.

Sebanyak 1,114 peserta daripada golongan B40 di kawasan DUN Nangka berjaya memperoleh lesen memandu motosikal kelas B2 menerusi program itu.

Kesemua peserta berkenaan menamatkan proses tapisan serta menjalani latihan dan ujian yang ditetapkan oleh JPJ sebelum berjaya mendapatkan lesen itu.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Nangka berkata program yang diperkenalkan pada awal 2024 itu bertujuan membantu rakyat dalam kalangan berpendapatan rendah untuk memperoleh lesen memandu motosikal dengan kos minimum.

Annuar berkata Program Bantuan MyLesen adalah langkah strategik kerajaan dalam membuka peluang kepada golongan belia untuk mendapatkan lesen memandu secara sah dan selamat, di samping melahirkan pemandu yang berdisiplin serta bertanggungjawab.

Beliau berharap agar semua peserta dapat membantu usaha murni kerajaan dengan menjadi teladan kepada pengguna jalan raya yang lain.

"Secara tidak langsung, kita mampu mengubah budaya dan pemikiran masyarakat ke arah menjadi pengguna jalan raya yang lebih berhemah, bertoleransi dan bertolak ansur," katanya.

-- BERNAMA



#penguat kuasa #kurangkan nahas jalan raya #gembleng tenaga #Annuar Rapaee