Aspek penguatkuasaan bagi menghalang kemasukan senjata api secara haram melalui pintu masuk di negara ini sentiasa dipertingkat, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wira Abu Seman Yusop berkata sehingga kini langkah penguatkuasaan dengan kerjasama pelbagai agensi termasuk kerjasama antarabangsa berjaya mengawal dan meminimumkan kes pemilikan senjata api secara haram.

"Sungguhpun rampasan senjata api menerusi operasi pembanterasan adalah rendah, namun pihak berkuasa meletakkan jenayah ini sebagai teras dalam operasi di sempadan supaya jenayah ini dapat ditangani. Kita masih lagi dapat mengawal jenayah ini," katanya ketika menjawab soalan tambahan M.Manogaran (DAP-Teluk Intan).

Beliau berkata pada 2010, pihak berkuasa berjaya merampas sebanyak 137 pucuk senjata api, pada tahun lepas sebanyak sebanyak 150 manakala pada tahun ini setakat ini 163 pucuk senjata api dirampas.

Menjawab soalan asal Datuk Seri Tiong King Sing (BN-Bintulu) mengenai operasi membanteras kegiatan penyeludupan senjata api, Tong berkata dua operasi telah dilancar untuk tujuan itut iaitu Ops Laras dan Ops Api.

Katanya Ops Laras membanteras aktiviti penyeludupan senjata api di kawasan sempadan negara berdasarkan maklumat yang diperoleh manakala Ops Api pula ialah terhadap kes jenayah yang melibatkan penggunaan senjata api.