[TERKINI] Gelombang Serangan Baharu Iran-Israel | Trump Timbang Tindakan Ketenteraan AS. Klik untuk laporan penuh.
NATIONAL

Penguatkuasaan NS diarah perketat kawalan sempadan, tangani aktiviti pembuangan haram

Bernama 26/03/2025 | 11:01 MYT
Aminuddin berkata selepas kejadian pembuangan kira-kira 100 bangkai babi di Bukit Pelanduk, Port Dickson pada 5 Mac, berlaku lagi kemasukan lori mencurigakan di kawasan sama. - Gambar fail
SEREMBAN: Pihak penguatkuasaan di Negeri Sembilan diarah memperketat kawalan di sempadan negeri bagi mengekang kemasukan kenderaan yang disyaki terlibat dengan aktiviti pembuangan haram termasuk bangkai babi berpenyakit.
Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata selepas kejadian pembuangan kira-kira 100 bangkai babi di Bukit Pelanduk, Port Dickson pada 5 Mac, berlaku lagi kemasukan lori mencurigakan di kawasan itu, bagaimanapun diarah berpatah balik selepas disedari pihak penguat kuasa.
Beliau berkata siasatan lanjut juga mendapati 100 bangkai babi itu dijangkiti virus namun jenis virus masih dalam siasatan.
"Kita menerima laporan satu lagi pemandu lori ditahan di sempadan dan diarahkan balik tetapi ada juga yang terlepas. Menjelang Aidilfitri, saya berharap perkara ini tidak berlaku kerana akan mengganggu ketenteraman penduduk.
"Jangan jadikan negeri ini sebagai tempat pembuangan. Pihak berkuasa perlu serius menangani perkara ini, mempertingkat kawalan sempadan dan ambil tindakan tegas kerana (kesabaran) penduduk di situ telah sampai ke tahap maksimum," katanya.
Aminuddin berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Negeri di sini hari ini.
Beliau juga berkata pihak berkuasa tempatan dan Jabatan Kerja Raya perlu mengambil tindakan pantas untuk menangani masalah jalan berlubang bagi mengelakkan kemalangan.
"Setiap kali sebelum perayaan, saya selalu ingatkan pihak berwajib melihat semua aduan jalan raya atau perkara lain yang boleh menyebabkan kemalangan maut termasuk kemasukan kenderaan berat," katanya.
Aminuddin berkata bagi memastikan jalan raya dalam keadaan baik, kerja menaik taraf telah bermula pada awal tahun dengan kesemua projek yang dilaksanakan menunjukkan kemajuan baik.
"Cuma di Felda Palong Satu hingga Felda Palong Empat, kerja penurapan masih dijalankan dan pengguna di situ diminta lebih berhati-hati kerana ada jalan belum mempunyai garisan putih," katanya.
-- BERNAMA
#penguatkuasaan #Aminuddin Harun #pembuangan haram #Bukit Pelanduk #kawalan di sempadan