Penguatkuasaan perlu dipertingkat pantau tahap pencemaran sungai

Bernama
Mac 16, 2019 20:48 MYT
Chow berkata bagi mengelak insiden pembuangan sisa kimia di Sungai Kim Kim berulang, JAS dan pihak-pihak yang berkenaan perlu mengambil serius setiap aduan yang dibuat penduduk berhubung pencemaran. - Gambar fail
Agensi berkaitan dan pihak berkuasa tempatan perlu mempertingkatkan lagi langkah penguatkuasaan mereka dalam memantau tahap pencemaran di semua sungai, negeri ini.
Presiden Persatuan Alam Sekitar Malaysia Vincent Chow yang membuat gesaan demikian berkata langkah pemerkasaan perlu kerana penguatkuasaan sedia ada kurang berkesan dalam menangani masalah tersebut.
Ini berikutan dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini, beliau mendapat banyak aduan daripada masyarakat setempat berhubung pencemaran di kawasan mereka, namun tiada tindakan konkrit telah diambil oleh pihak berkenaan dalam menyelesaikan isu.
"Kekurangan kehadiran mereka (penguat kuasa) untuk memantau pencemaran tidak hanya berlaku di Sungai Kim Kim malah di sungai-sungai lain.
"Ini adalah satu kelemahan besar dan saya percaya kejadian ini merupakan tamparan kepada pihak-pihak terlibat bagi memperingkatkan keanggotaan mereka yang membuat pemantauan," katanya ketika dihubungi Bernama, di sini, pada Sabtu.
Chow berkata bagi mengelak insiden pembuangan sisa kimia di Sungai Kim Kim berulang, Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan pihak-pihak yang berkenaan perlu mengambil serius setiap aduan yang dibuat penduduk berhubung pencemaran.
"Jika penduduk atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membuat aduan, bermakna perkara yang diadu memang berlaku.
"Pergi siasat dan adakan pertemuan dengan penduduk supaya kita tahu gambaran yang sebenar. Ini kerana ada perkara kita tidak boleh buat rumusan ringkas, sebaliknya perlu menyeluruh," kata beliau.
-- BERNAMA
#Jabatan Alam Sekitar #langkah penguatkuasaan #pantau pencemaran #pembuangan sisa kimia #pencemaran #pencemaran sungai #pihak berkuasa tempatan #Sungai Kim Kim #tahap pencemaran #Vincent Chow