KUALA TERENGGANU: Orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati ketika mengunjungi pantai, susulan penemuan dua ulat bulu laut yang dipercayai daripada spesies Amphinome rostrata (A. rostrata) di pantai berhampiran Universiti Malaysia Terengganu (UMT) semalam.

Ketua Unit Pusat Rujukan dan Repositori Laut China Selatan UMT Prof Madya Dr Izwandy Idris berkata spesies ulat bulu laut yang dijumpai oleh sukarelawannya semasa berjalan di tepi pantai semalam berbahaya kerana sesiapa yang menyentuh atau memegang haiwan itu akan berasa sakit seperti terkena api.

"Ini kerana 'chaetae' di badan ulat bulu laut ini adalah tajam serta rapuh dan mudah melekat ke kulit apabila disentuh. Tambahan pula, spesies daripada kumpulan ulat bulu laut ini (keluarga Amphinomidae) mempunyai kelenjar bisa yang boleh memasuki badan melalui luka tusukan 'chaetae' yang patah.

"Gabungan luka akibat 'chaetae' yang patah dan bisa daripada kelenjar bisa boleh menimbulkan rasa sakit yang kuat, bengkak di tempat yang terkena serta tindak balas alahan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Izwandy fenomena monsun timur laut yang berlaku di Laut China Selatan pada masa ini menyebabkan banyak berlakunya kedamparan organisma serta benda hanyut di pantai akibat arus dan ombak yang kuat.

A. rostrata itu, katanya ialah spesies yang banyak berasosiasi dengan 'teritip angsa' yang melekat pada benda hanyut seperti kayu serta sampah laut dan dijumpai di lautan seluruh dunia.

"Sehubungan itu pihak Pusat Rujukan dan Repositori Laut China Selatan menasihati pengunjung pantai agar berhati-hati sekiranya terjumpa A. rostrata atau mana-mana organisma marin yang mempunyai rupa seakan-akan ulat bulu. Elakkan daripada menyentuh haiwan ini serta jauhkan daripada kanak-kanak," katanya.

-- BERNAMA