Terkini: Kes Kematian Zara Qairina – Ikuti Perkembangan di Sini
MALAYSIA

Pengurangan pekerja PETRONAS sebab pertindihan fungsi kerja - PM

Hasimi Muhamad 14/08/2025 | 02:55 MYT
Kesemua mereka yang terlibat dengan pemberhentian tersebut akan menerima pelbagai jaminan dan manfaat bagi memastikan kesejahteraan kakitangan serta keluarga mereka.
KUALA LUMPUR: Pengurangan kira-kira 5,000 kakitangan Petrolium Nasional Bhd (PETRONAS) dibuat antaranya atas faktor pertindihan fungsi dalam tenaga kerja.

Memberitahu Dewan Rakyat, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keadaan itu berlaku kerana peralihan kepada penggunaan teknologi, digitalisasi dan kecerdasan buatan (AI).

Bagaimanapun, beliau menegaskan pemberhentian itu dilakukan secara berperingkat, bermula dengan pekerja kontrak yang tidak disambung, diikuti fasa seterusnya.

Anwar menambah kesemua mereka yang terlibat dengan pemberhentian tersebut akan menerima pelbagai jaminan dan manfaat bagi memastikan kesejahteraan kakitangan serta keluarga mereka.

"PETRONAS masih mencatat keuntungan, jadi mengapa dan apa kemunasabahannya untuk membuang pekerja ini atau menghentikan? Alasannya adalah pertama, soal peralihan dari segi keberkesanan kerana menggunakan teknologi termasuk digitalisasi AI.

"Ada pertindihan pekerja tetapi dalam pembuangan itu tidak seperti kita dengan biasa umpamanya dipastikan orang mahu dihentikan secara berperingkat ini, diserahkan kepada syarikat yang ada.

"Jadi ada kerjasama dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC).

"Kedua, perbincangan dengan Perkeso untuk beri latihan dalam bidang-bidang baharu. Ketiga, minimum mereka mendapat jaminan gaji sepanjang tahun, dan beberapa terma lain soal kemudahan perubatan dan sebagainya," katanya semasa sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Khamis.

Perdana Menteri menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) mengenai langkah pengurangan pekerja PETRONAS benar-benar perlu dilakukan, dan apakah tindakan kerajaan dalam membantu nasib pekerja terbabit.

Anwar (PH-Tambun) berkata keputusan PETRONAS untuk melaksanakan pemberhentian pekerja dilihat sebagai langkah rasionalisasi dan penstrukturan semula organisasi yang sejajar dengan amalan global syarikat minyak utama.

Beliau menambah, perkara tersebut bagaimanapun bukan suatu keadaan yang boleh dipandang ringan.

“Saya sendiri telah berbincang berkali-kali dengan Presiden dan CEO PETRONAS untuk menangani isu ini.

"Kita lihat juga syarikat lain seperti British Petroleum mengumumkan pemberhentian 6,200 pekerja menjelang akhir 2025, manakala Chevron pula antara 8,000 hingga 9,000 pekerja sejak Februari lalu. ExxonMobil dan Shell turut melakukan langkah sama,” katanya.





#Anwar Ibrahim #Pengurangan pekerja Petronas #Dewan Rakyat #pertindihan fungsi kerja