MALAYSIA

Pengurus besar agensi kerajaan ditahan SPRM

Sinar Harian 30/11/2021 | 02:25 MYT
Lelaki berusia lingkungan 40-an itu ditahan selepas disyaki menerima suapan sebanyak kira-kira RM8,000. - Gambar hiasan
KOTA KINABALU: Seorang pengurus besar di sebuah agensi kerajaan di negeri ini ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di pejabat SPRM Tawau pada Isnin.

Lelaki berusia lingkungan 40-an itu ditahan pada jam 9 pagi selepas disyaki menerima suapan sebanyak kira-kira RM8,000.

Suspek dikatakan telah menggunakan kedudukannya untuk meluluskan baucar bayaran pada tahun 2018 sedangkan kerja-kerja itu dilakukan oleh suspek sendiri.

Difahamkan, suspek dilepaskan dengan bon jamin SPRM sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.

Pengarah SPRM Sabah, Datuk S Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.

"Lelaki itu ditahan di bawah Seksyen 23 (1) Akta SPRM 2009 dan akan dituduh di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Tawau pada 3 Disember ini," katanya.

* Artikel asal disiarkan di Sinar Harian.




#SPRM #Rasuah #agensi kerajaan #baucer bayaran