[TERKINI] Nahas Gerik: Bas Bawa Penuntut UPSI Dipandu Melebihi Had Laju Dua Kali Ganda – Semak Perincian MOT Di Sini
MALAYSIA

Pengurus kontrak antara empat ditahan bantu siasatan kes rasuah projek pusat data

Bernama 18/07/2025 | 10:56 MYT
Pengurus kontrak bersama isterinya serta dua lelaki berjawatan pengarah syarikat berusia 40 hingga 60-an ditahan dalam Op Ways oleh Bahagian Siasatan SPRM di sekitar Lembah Klang. - Foto SPRM
PUTRAJAYA: Pengurus kontrak sebuah syarikat pembinaan terkemuka antara empat individu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki terbabit kegiatan rasuah melibatkan perolehan tender projek pembinaan pusat data di Johor bernilai kira-kira RM180 juta.


Ringkasan AI
  • Empat individu ditahan dalam Op Ways: Seorang pengurus kontrak syarikat pembinaan terkemuka, isterinya dan dua pengarah syarikat ditahan SPRM kerana disyaki menerima rasuah berkaitan enam tender projek pusat data di Johor bernilai RM180 juta.
  • RM7.5 juta wang tunai disita: SPRM menyita wang tunai yang ditemui di rumah pengurus kontrak, dipercayai bayaran rasuah sebanyak 2.5% daripada nilai setiap tender yang diperoleh dua syarikat terbabit.
  • Kes disiasat di bawah Akta SPRM 2009: Semua suspek direman antara tiga hingga tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) dan Seksyen 17(A) Akta SPRM 2009 berkaitan kesalahan rasuah dan liabiliti korporat.


Menurut sumber, pengurus kontrak bersama isterinya serta dua lelaki berjawatan pengarah syarikat berusia 40 hingga 60-an ditahan dalam Op Ways oleh Bahagian Siasatan SPRM di sekitar Lembah Klang semalam.

Menerusi operasi itu, SPRM telah menyita wang tunai kira-kira RM7.5 juta yang dijumpai di rumah milik pengurus kontrak terbabit.

"Wang itu dipercayai rasuah dibayar kepada suspek sebagai balasan mendapatkan enam tender perolehan projek berkenaan.

"Siasatan awal mendapati suspek menetapkan bayaran rasuah sebanyak 2.5 peratus bagi setiap tender perolehan projek diperoleh dua syarikat berkenaan," kata sumber.

Pengurus kontrak direman bersabit perolehan projek RM180 juta


Perintah reman selama tujuh hari hingga 24 Julai dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin terhadap pengurus kontrak itu manakala isterinya serta dua lagi suspek masing-masing direman hingga 20 dan 22 Julai, selepas membenarkan permohonan dikemukakan SPRM di Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) dan Seksyen 17(A) Akta SPRM 2009.

-- BERNAMA



#pengurus kontrak #ditahan SPRM #projek pembinaan pusat data #Rasuah #Johor #Op Ways