MALAYSIA

Pengurus stesen minyak rugi lebih RM90,000 terperdaya tawaran kerja sambilan tidak wujud

Bernama 25/08/2025 | 03:40 MYT
Mengsa yang merupakan lelaki tempatan berusia 38 tahun berkenalan dengan seorang wanita melalui aplikasi sosial "Tinder" sebelum ditawarkan pekerjaan sambilan. - Gambar hiasan
JOHOR BAHRU: Seorang pengurus sebuah stesen minyak di daerah ini kerugian sebanyak RM91,167 setelah tertipu dengan urusan kerja sambilan tidak wujud secara dalam talian pada hujung Julai lepas.


Ringkasan AI
  • Seorang pengurus stesen minyak di Johor Bahru mengalami kerugian RM91,167 selepas ditipu melalui tawaran kerja sambilan dalam talian yang tidak wujud, bermula daripada perkenalan di aplikasi Tinder.
  • Mangsa membuat sembilan transaksi pemindahan wang ke beberapa akaun antara 25 hingga 29 Julai sebelum dimaklumkan akaunnya dibekukan dan suspek gagal dihubungi.
  • Polis menyiasat kes di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan sedang membuat semakan ke atas akaun bank yang terlibat.


Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Raub Selamat berkata mengsa yang merupakan lelaki tempatan berusia 38 tahun itu, pada mulanya berkenalan dengan seorang wanita melalui aplikasi sosial "Tinder".

Beliau berkata dia kemudiannya ditawarkan pekerjaan sambilan dalam talian menerusi lawan sesawang yang dikenali sebagai Inventorysources.site.

"Melalui siasatan awal yang dilakukan telah mendapati mengsa diperdaya sehingga membuat sembilan kali pemindahan wang pada 25 hingga 29 Julai lepas ke beberapa akaun bank pada atas nama individu dan syarikat.

"Selepas bayaran dibuat akaun mangsa dimaklumkan kononnya telah dibekukan dan suspek selepas itu gagal dihubungi. Menyedari dirinya telah ditipu mangsa telah membuat satu laporan polis semalam," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Raub berkata kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan pihaknya kini sedang menjalankan siasatan lanjut dengan membuat semakan ke atas akaun bank yang terlibat.

-- BERNAMA


#PDRM #kes penipuan #tawaran kerja tidak wujud #tawaran kerja