Pengurus syarikat perunding direman bantu siasatan kes rasuah AKSB

Bernama
Julai 12, 2021 08:34 MYT
Sebelum ini, tiga lelaki termasuk seorang bekas pengurus besar AKSB direman tiga hari bagi membantu siasatan SPRM berhubung kes rasuah yang membabitkan projek bernilai lebih RM27 juta antara 2015 dan 2019. - Gambar fail
KOTA BHARU: Seorang pengarah sebuah syarikat perunding direman tiga hari bermula hari ini hingga Rabu, bagi membantu siasatan kes salah guna kuasa berkaitan syarikat Air Kelantan Sendirian Berhad (AKSB).
Perintah reman ke atas lelaki berusia 55 tahun itu, dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Kota Bharu Nor Faezah Abdullah, di Mahkamah Majistret 4 Kota Bharu, hari ini.
Menurut sumber, syarikat milik lelaki tersebut mendapat kerja-kerja projek bekalan air daripada AKSB.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009," katanya ringkas ketika dihubungi, di sini hari ini.
Siasatan Rasuah | Operasi AKSB berjalan seperti biasa
BACA: Tiga termasuk bekas pengurus besar AKSB ditahan bantu siasatan rasuah
Media sebelum ini melaporkan, tiga lelaki termasuk seorang bekas pengurus besar AKSB direman tiga hari bermula Jumaat lalu, bagi membantu siasatan SPRM berhubung kes rasuah yang membabitkan projek bernilai lebih RM27 juta antara 2015 dan 2019.
-- BERNAMA
#AKSB #syarikat air kelantan #Rasuah #SPRM #Kelantan #pengarah #syarikat perunding #ditahan