KUANTAN: Seorang pengurus syarikat penilaian hartanah di Temerloh kerugian lebih RM505,000, selepas dipercayai menjadi mangsa penipuan pelaburan saham tidak wujud yang diiklankan menerusi media sosial.
Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata mangsa, seorang wanita berusia 67 tahun telah melihat satu iklan pelaburan saham di Facebook pada 28 Mac, sebelum menghubungi seorang wanita yang mendakwa bekerja di LUNO Malaysia Sdn Bhd, menerusi aplikasi WhatsApp.
Beliau berkata mangsa kemudian bersetuju menyertai pelaburan itu dan telah memberikan maklumat peribadi kepada suspek.
“Bermula 28 Mac hingga 28 April, mangsa membuat sebanyak 61 transaksi pembayaran secara dalam talian, mesin deposit tunai (CDM) dan kaunter bank di Temerloh, ke beberapa akaun bank individu yang diberikan suspek,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata pada 29 April, mangsa dimaklumkan oleh seorang individu bahawa mangsa perlu membuat bayaran tambahan sebanyak RM80,000 sebagai caj perkhidmatan untuk mengeluarkan keuntungan pelaburan yang dikatakan berjumlah RM658,646.88.
Yahaya berkata mangsa memohon supaya caj berkenaan ditolak daripada keuntungan pelaburan, namun permintaan itu ditolak dan mangsa diminta membuat bayaran penuh terlebih dahulu.
“Mangsa tampil membuat laporan polis selepas gagal mendapatkan semula wang pelaburan berkenaan, yang melibatkan wang simpanan miliknya dan ahli keluarga,” katanya.
Beliau menasihatkan orang ramai membuat semakan dengan pihak berkuasa berkaitan termasuk Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, sebelum menyertai sebarang pelaburan selain menyemak nombor akaun serta nombor telefon melalui platform “Semak Mule” sebelum melakukan transaksi kewangan.
-- BERNAMA