[TERKINI] Gelombang Serangan Baharu Iran-Israel | Trump Timbang Tindakan Ketenteraan AS. Klik untuk laporan penuh.
NATIONAL

Pengurus syarikat rugi RM5.02 juta terperdaya skim pelaburan tidak wujud

Bernama 08/05/2025 | 13:00 MYT
Seorang pengurus syarikat kerugian RM5.02 juta selepas dipercayai menjadi mangsa penipuan pelaburan tidak wujud yang dipromosikan di media sosial. - Foto hiasan
KUALA LUMPUR: Seorang pengurus syarikat kerugian RM5.02 juta selepas dipercayai menjadi mangsa penipuan pelaburan tidak wujud yang dipromosikan di media sosial.
Timbalan Ketua Polis Selangor DCP Zaini Abu Hassan berkata mangsa berusia 72 tahun itu tertarik dengan satu iklan pelaburan pada awal Mac lepas dan berhubung dengan suspek menerusi aplikasi WhatsApp.
"Mangsa dimasukkan ke dalam kumpulan WhatsApp sebelum diminta memuat turun satu aplikasi serta mendaftar sebagai pelabur baharu.
"Dalam tempoh tersebut mangsa telah membuat transaksi pembayaran secara berperingkat ke empat akaun berbeza berjumlah RM5.02 juta," katanya dalam kenyataan hari ini.
Zaini berkata mangsa kemudiannya membuat laporan polis di daerah Serdang selepas menyedari dirinya ditipu apabila diminta membuat bayaran tambahan dalam bentuk cukai untuk mendapatkan kembali wang pelaburan tersebut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan atas kesalahan menipu.
Mohd Zaini menasihati orang ramai supaya sentiasa berwaspada terhadap tawaran pelaburan di media sosial yang menjanjikan pulangan tinggi dan tidak munasabah terutama yang menggunakan aplikasi kewangan atau pelaburan yang tidak diiktiraf oleh Bank Negara Malaysia (BNM) atau Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).
-- BERNAMA
#pengurus syarikat rugi #penipuan #pelaburan tidak wujud #Polis Selangor