KUALA LUMPUR: Pengurusan harta pusaka perlu melangkaui soal meninggalkan wang dan aset kepada waris, sebaliknya merangkumi persediaan generasi seterusnya untuk memahami tanggungjawab serta mengurus kekayaan yang diwariskan dengan baik.
Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Trustees Berhad, Datuk Nor Fazlina Mohd Ghouse berkata bahawa harta yang mencukupi tidak semestinya menjamin kebajikan waris sekiranya tiada perancangan jelas mengenai pihak yang akan menguruskan aset serta memenuhi keperluan mereka.
Beliau berkata perkara itu lebih penting bagi keluarga yang mempunyai anak kecil, ahli keluarga berkeperluan khas atau ibu bapa yang uzur dan memerlukan penjagaan serta rawatan berterusan.
“Duit itu memang ada, tetapi kita belum tentu mereka boleh menguruskan duit itu. Walaupun kita tinggalkan duit sahaja, tetapi tanpa pelan, itu juga boleh menjadi masalah.
“Perlindungan sebenarnya bukan sekadar tinggalkan duit sahaja. Duit itu cuma satu bahagian daripada keseluruhan perkara,” katanya dalam program Agenda AWANI "Amanah dan Berkat Mengurus Kekayaan Demi Kesinambungan Generasi", yang disiarkan pada 23 September.
Mengulas lanjut, Nor Fazlina berkata keluarga juga perlu mempersiapkan generasi akan datang dari awal, kerana walaupun pemindahan aset boleh dilakukan dalam tempoh singkat, namun keupayaan untuk mengurus harta dan memikul tanggungjawab yang datang bersamanya memerlukan masa.
“Jangan sediakan anak dengan persepsi bahawa apabila 'saya meninggal, kamu dapat harta ini'. Sebagai ibu bapa, kita perlu mengambil satu langkah lagi dan menjelaskan kenapa harta itu diberikan.
“Persiapan itu perlu bermula dari awal dengan menceritakan nilai-nilai keluarga. Ia bukan semata-mata mengenai kekayaan atau aset,” katanya.
Beliau berkata perbincangan mengenai harta pusaka dan kematian sememangnya boleh menjadi janggal dalam kalangan keluarga, namun pendekatan komunikasi yang lebih sesuai boleh membantu mengurangkan kejanggalan berkenaan.
Rancang kewangan, simpanan lebih awal
Sementara itu, Ketua Pengurusan Kewangan Islam Malaysia, Maybank Islamic, Abdul Halim Abdul Rashid berpandangan bahawa rakyat Malaysia perlu memperkukuh perancangan kewangan dan simpanan dari awal bagi menghadapi tempoh persaraan yang mungkin lebih panjang susulan peningkatan jangka hayat serta populasi menua di negara ini.
Katanya, keadaan itu menjadikan perancangan kewangan jangka panjang semakin penting bagi memastikan kekayaan yang dibina mampu menyokong kehidupan bukan sahaja ketika usia bekerja, malah selepas bersara.
“Dengan keadaan yang mencabar hari ini, kita perlu lebih teliti dalam memikirkan cara-cara untuk pendapatan, menyimpan dan melabur kerana setiap ringgit wang kita perlu digunakan dan dijanakan dengan lebih bijak.
“Populasi menua di Malaysia semakin menjadi sebahagian daripada perbincangan nasional, dan tempoh persaraan mungkin lebih panjang daripada yang dijangkakan oleh ramai orang,” katanya.
Selain itu, Abdul Halim menjelaskan rakyat perlu memikirkan kaedah meningkatkan simpanan dari sekarang supaya kekayaan yang dibina dapat menyokong kehidupan mereka untuk tahun-tahun mendatang.
Ujar beliau, perancangan kewangan juga perlu mengambil kira pelbagai tanggungjawab pada setiap peringkat kehidupan termasuk menyara insan tersayang, membina simpanan, melindungi tanggungan, merancang persaraan serta menyediakan legasi untuk generasi akan datang.