MALAYSIA
Pengurusan Tabung Haji dikendalikan 100 peratus bumiputera Muslim

Pihak TH turut menasihatkan orang ramai agar tidak mudah mempercayai sebarang maklumat yang tidak dapat dipastikan kesahihannya.
KUALA LUMPUR: Pengurusan Lembaga Tabung Haji (TH) dan urusan ibadat haji tetap dikendalikan oleh pasukan pengurusan yang 100 peratus bumiputera Muslim.
Namun, menurut Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Mustakim Mohamad, pelbagai sokongan teknikal diperlukan bagi inisiatif penjenamaan yang kompleks ini dan dibekalkan oleh konsortium yang dibentuk oleh TH.
“TH ditubuhkan dengan niat utama untuk umat Islam Malaysia menabung dan menyempurnakan simpanan bagi tujuan haji.
"Namun kebelakangan ini, ia lebih dikenali bagi perkhidmatan haji dan pada masa yang sama, kos mengerjakan haji kian meningkat tetapi kadar simpanan pendeposit tidak berkembang," katanya dalam satu kenyataan media pada Jumaat.Justeru, bagi menangani masalah ini, pihaknya sedang melaksanakan inisiatif penjenamaan untuk memperkasakan TH sebagai institusi simpanan Islam pilihan, iaitu umat Islam kekal menabung secara sistematik dan konsisten.
“Pelaksanaan pelan penjenamaan ini adalah usaha untuk memperkasakan semula peranan TH sebagai institusi simpanan Islam yang dihormati agar umat Islam dapat mengembangkan simpanan mereka dan menunaikan ibadat haji," ujarnya.
Terdahulu, beberapa video berlegar di media sosial yang mengajak umat Islam di negara ini untuk keluar daripada menyimpan wang di TH.
Justeru, beliau menegaskan bahawa TH telah membuat laporan polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
"TH memandang serius perkara ini dan sedang melaksanakan pemantauan rapat terhadap sebarang hantaran di media sosial sama ada video atau penulisan yang cuba menghasut masyarakat dengan maklumat yang tidak benar sehinggakan boleh mencemarkan imej TH.
"TH juga bersedia memberikan kerjasama penuh dalam menyalurkan maklumat bagi melengkapkan siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap mana-mana individu dan pemilik akaun media sosial yang membuat hantaran berunsur hasutan mengikut lunas undang-undang," tambahnya.
Pihak TH juga menasihatkan orang ramai agar tidak mudah mempercayai sebarang maklumat yang tidak dapat dipastikan kesahihannya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami