Pengusaha bas, teksi kini boleh mohon skim jaminan kerajaan

Bernama
Jun 3, 2021 10:54 MYT
Kerajaan akan menyediakan 50 peratus jaminan ke atas kemudahan kredit sewa beli yang disusun semula untuk pengusaha bas dan teksi yang layak.
KUALA LUMPUR: Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Bhd (SJPP), syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan, kini menerima permohonan daripada syarikat-syarikat kredit yang mengambil bahagian di bawah skim jaminan kerajaan khas yang disediakan untuk pengusaha bas dan teksi.
Inisiatif ini, iaitu Skim Rehabilitasi Sewa Beli Bas dan Teksi (BTHPRS), telah diumumkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di bawah pakej Pemerkasa PLUS pada 31 Mei.
"BTHPRS bertujuan untuk membantu pengusaha bas dan teksi yang layak dengan memberikan moratorium pinjaman sehingga 12 bulan dan lanjutan tempoh bayaran balik untuk mengurangkan impak daripada pandemik COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 terhadap perniagaan mereka.
"Sejumlah peruntukan sebanyak RM1.0 bilion telah diluluskan oleh kerajaan untuk skim ini," menurut SJPP dalam kenyataan hari ini.
Katanya kerajaan akan menyediakan 50 peratus jaminan ke atas kemudahan kredit sewa beli yang disusun semula untuk pengusaha bas dan teksi yang layak.
"Jaminan itu akan mempunyai tempoh sehingga sembilan tahun dengan yuran jaminan sebanyak 0.5 peratus setahun dan yuran jaminan untuk tahun pertama akan dikecualikan.
"Dengan jaminan kerajaan, pengusaha bas dan teksi yang layak akan mendapat moratorium pinjaman selama 12 bulan dan lanjutan tempoh pinjaman sehingga 36 bulan," katanya.
Pada masa ini, SJPP bekerjasama dengan pembiaya yang mengambil bahagian, iaitu Orix Credit Malaysia Sdn Bhd, Hap Seng Credit Sdn Bhd, Hitachi Capital Malaysia Sdn Bhd, Pac Lease Bhd, Scania Credit Malaysia Sdn Bhd dan syarikat kredit dan pajakan lain untuk memastikan BTHPRS berjaya dilaksanakan.
SJPP berkata dengan penyertaan aktif daripada semua pihak, termasuk pengusaha bas dan teksi, syarikat kredit dan persatuan serta dengan maklumat dan kesedaran mengenai skim ini, lebih ramai pengusaha akan mendapat manfaat daripada skim jaminan kerajaan ini.
"Skim ini dijangka dapat memberikan bantuan yang amat diperlukan untuk penggiat industri pengangkutan bagi menghadapi tempoh sukar ini dan pandemik COVID-19," katanya.
Permohonan untuk jaminan kerajaan di bawah BTHPRS dibuka sehingga 31 Dis, 2021 atau sehingga skim tersebut digunakan sepenuhnya.
Pengusaha bas dan teksi yang berminat digalakkan menghubungi syarikat sewa beli, syarikat kredit atau syarikat sewa masing-masing untuk membincangkan mengenai pembiayaan mereka serta menikmati moratorium dan pembayaran balik bulanan yang lebih rendah.
Maklumat lanjut mengenai BTHPRS dan kriteria kelayakan boleh didapati di laman web SJPP di www.sjpp.com.my atau pihak yang berminat boleh menghantar pertanyaan mereka melalui e-mel kepada esjpp@prokhas.com.my.
-- BERNAMA
#PEMERKASA Plus #Muhyiddin Yassin #Perdana Menteri #teksi #bas #pandemik #COVID-19 #Malaysia #perintah kawalan pergerakan #PKP #total lockdown