Skip to main content

Malaysia

Pengusaha feri Langkawi gesa nelayan tidak halang alur pelayaran utama

Kejadian feri terkandas di alur pelayaran utama Kuala Perlis baru-baru ini perlu dijadikan pengajaran oleh semua pihak. - Gambar hiasan
Kejadian feri terkandas di alur pelayaran utama Kuala Perlis baru-baru ini perlu dijadikan pengajaran oleh semua pihak. - Gambar hiasan

Advertisement

ALOR SETAR: Pengusaha feri Langkawi menggesa komuniti nelayan supaya tidak menghalang alur pelayaran utama bagi memastikan keselamatan penumpang dan anak kapal serta mengelakkan kejadian feri terkandas berulang.

Pengurus Besar Konsortium Ferry Line Ventures Sdn Bhd (Ferry Line) Dr Baharin Baharom berkata, kejadian feri terkandas di alur pelayaran utama Kuala Perlis baru-baru ini perlu dijadikan pengajaran oleh semua pihak.

Beliau berkata berdasarkan pemakluman Jabatan Laut Malaysia Wilayah Utara, kejadian pada 10.40 pagi Rabu lepas melibatkan Feri Ekspres Bahagia 98 yang membawa 251 penumpang dari Langkawi ke Kuala Perlis.

“Kejadian dipercayai berpunca daripada aktiviti memukat oleh dua bot nelayan di tengah alur pelayaran, menyebabkan feri memperlahankan kelajuan sebelum dihanyutkan arus dan angin ke arah beting pasir.

“Insiden itu menyebabkan enjin feri terhenti dan penumpang terpaksa dipindahkan menggunakan bot kecil, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan semua pihak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baharin berkata pihaknya menghormati nelayan yang bergantung kepada laut sebagai sumber pendapatan namun berharap aktiviti menangkap ikan dan memasang pukat tidak menghalang laluan feri penumpang.

Beliau berkata kejadian seumpama itu bukan sahaja berisiko menyebabkan kehilangan nyawa dan kerosakan kapal, malah boleh menjejaskan keyakinan pelancong terhadap keselamatan perkhidmatan feri ke Langkawi.

Beliau turut menyarankan Jabatan Laut Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Jabatan Perikanan dan persatuan nelayan memperkukuh kerjasama dalam aspek pemantauan serta penyampaian maklumat kepada komuniti nelayan mengenai kawasan yang perlu dielakkan.

Baharin berkata pihaknya bersedia menyertai sesi libat urus bagi mencari penyelesaian yang adil dan praktikal serta menegaskan keselamatan pelayaran adalah tanggungjawab bersama.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement