KUALA LUMPUR: Pemilik dan pengusaha pusat gimnasium swasta merayu kepada kerajaan supaya menyemak semula prosedur operasi standard (SOP) bagi membolehkan mereka membuka semula perniagaan.

Sekumpulan pemilik gim persendirian, S. Jayagobi dan Kevin Lius Silvaraju berkata penutupan gimnasium dan pusat kecergasan itu semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diikuti pelaksanaan kawalan pergerakan di bawah Pelan Pemulihan Negara yang kini hampir mencecah sembilan bulan, telah hampir menutup sumber pendapatan mereka.

Dalam kenyataan bersama hari ini, mereka yang kini mengendalikan beberapa cawangan francais Anytime Fitness di ibu kota, berkata seperti perniagaan lain, pusat gim itu masih perlu membayar sewa, bil utiliti dan gaji pekerja.

"Kami merayu kepada kerajaan agar membenarkan kami untuk membuka semula gim secepat mungkin memandangkan bilangan dewasa yang telah mendapat dos kedua di Lembah Klang mencatatkan 86.9 peratus semalam.

"Bagi pihak pemilik dan pengusaha pusat gimnasium swasta di seluruh negara, kami memuji usaha gigih kerajaan untuk menjaga kesihatan penduduk Malaysia daripada jangkitan Coronavirus," kata Jayagobi.

Jayagobi berkata pembukaan gim harus dibenarkan dengan peraturan yang ketat, iaitu hanya individu yang telah lengkap divaksin melalui bukti sijil digital MySejahtera dengan bilangan ahli yang terhad dibenarkan untuk menggunakan kemudahan gim di setiap outlet sambil mematuhi penjarakan fizikal.

"Ruang tersebut telah pun ditandakan dengan jelas dan ahli telah dimaklumkan untuk berada dalam zon selamat di ruang bertanda," katanya.

Sementara itu, Kevin berkata beliau berharap kerajaan dapat mempertimbangkan rayuan itu dan membenarkan mereka beroperasi bulan depan.

Selain itu katanya sekiranya dibenarkan beroperasi, peserta perlu membawa tuala sendiri bagi memastikan kebersihan diri diamalkan.

-- BERNAMA