Pengusaha kedai runcit didakwa cabul jururawat

Dewi Nur Harasha Alias
Mac 19, 2021 05:41 MYT
Mohd Ridi ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Butterworth untuk pertuduhan kes cabul pada Jumaat. - Astro AWANI
BUTTERWORTH: Seorang pengusaha kedai runcit didakwa di Mahkamah Majistret Butterworth atas pertuduhan mencabul seorang jururawat wanita di Hospital Kepala Batas, Pulau Pinang 8 Mac lepas.
Tertuduh, Mohd Ridi, 55 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret M. Kalaiarasi pagi tadi.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh, didakwa telah menggunakan kekerasan jenayah dengan maksud mencabul kehormatan seorang jururawat wanita berusia 24 tahun.
Perbuatan itu dilakukan di wad 3B Hospital Kepala Batas pada kira kira jam 11.30 pagi.
Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut seksyen 354 Kanun Seseksaan.
Jika sabit kesalahan dia boleh dipenjara selama tempoh 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Asma’ ‘Amira Shahidani manakala tertuduh diwakili penguam Mohd Izad Buqhary Mohd Kamri.
Terdahulu semasa prosiding, pihak pendakwaan menawarkan wang jaminan sebanyak RM10,000 namun, peguam tertuduh memohon jaminan dikurangkan atas alasan tertuduh sudah berusia, selain mempunyai masalah kesihatan.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,800 dengan seorang penjamin dengan syarat tertuduh tidak boleh mendekati mangsa.
Mahkamah kemudiannya menetapkan 21 April depan untuk sebutan semula kes.
Pada 8 Mac lepas, seorang pesakit COVID-19 yang baru disahkah pulih didakwa telah mencabul seorang jururawat wanita dengan mengusap jarinya di Hospital Kepala Batas.
Lelaki berusia 55 tahun itu dipercayai cuba melakukan gangguan seksual terhadap mangsa yang berusia 24 tahun ketika prosedur pemeriksaan paras gula dalam darahnya.
#cabul #pengusaha kedai runcit #jururawat #Hospital Kepala Batas #Mahkamah Majistret Butterworth #Mohd Ridi