Pengusaha pusat konservasi penyu terkilan operasi diarah tutup

Bernama
April 30, 2021 23:53 MYT
Rasli berkata, sejak 2017, sebanyak 6,800 anak penyu spesies Agar berjaya dilepaskan secara berperingkat. - Gambar hiasan
LUMUT: Pengusaha Pusat Konservasi Penyu Teluk Ketapang, Pulau Pangkor merayu kepada Jabatan Perikanan Perak agar membenarkan pusat itu terus beroperasi kerana usaha pemuliharaan yang dilakukannya sejak empat tahun lepas menunjukkan hasil memberangsangkan.
Rasli Ibrahim, 55, berkata beliau menerima notis penutupan operasi daripada jabatan itu kerana memiliki penyu tanpa lesen selain diarah melepaskan kesemua haiwan terbabit ke habitat asal pada 21 April lalu.
"Pada asalnya, saya mohon kepada Pejabat Daerah Manjung untuk menjadikan kawasan ini yang terbiar sebagai kawasan perkhemahan namun saya melihat ada pendaratan penyu, jadi saya maklumkan perkara itu kepada pejabat daerah.
"Saya mahu jadikan penyu ini sebagai antara tarikan Pulau Pangkor, jadi saya mula belajar proses nak memulihara penyu dan jadikan kawasan ini sebagai pusat konservasi, dan Alhamdulillah hingga kini ramai pelancong yang suka datang," katanya ketika ditemui pemberita di pusat berkenaan hari ini.
Rasli yang juga Pengerusi Persatuan Pencinta dan Pemuliharaan Penyu Pulau Pangkor, berkata sejak 2017, sebanyak 6,800 anak penyu spesies Agar berjaya dilepaskan secara berperingkat dan sarang penyu juga meningkat kepada 37 sarang pada tahun lalu berbanding hanya 17 sarang kira-kira empat tahun lepas.
Beliau juga mendakwa pusat konservasi berkenaan mendapat sokongan daripada komuniti serta penyelidik haiwan marin berkenaan yang turut memuji kaedah pemuliharan penyu di pusat tersebut.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Pangkor Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir mahu Jabatan Perikanan, Majlis Perbandaran Manjung dan pengusaha pusat konservasi berkenaan mencari jalan terbaik untuk menyelesaikan isu tersebut.
"Saya tidak mahu lihat kawasan ini menjadi terbiar apabila berlaku kejadian seperti ini yang mana sebelum ini pusat berkenaan telah beroperasi dengan baik dan saya berharap Jabatan Perikanan dapat mencari jalan penyelesaian yang terbaik," katanya.
Sementara itu, Pengarah Perikanan Perak Zaki Mokri ketika dihubungi, berkata Pantai Telok Ketapang, Pulau Pangkor merupakan tempat penyu Agar bertelur dan pihaknya telah memberi kebenaran kepada Rasli untuk mengutip telur penyu di sekitar pantai itu dan diserahkan kepada jabatan untuk dieramkan pada 2016.
Bagaimanapun, beliau berkata Rasli tidak menyerahkan semua telur penyu kepada pihaknya, sebaliknya mengeramkan dan membela sendiri anak penyu sehingga dewasa sebelum mempamerkan kepada orang awam dan pelancong dengan mengenakan caj tertentu.
"Aktiviti beliau ini (memiliki penyu dan mempamer) menyalahi Akta Perikanan 1985. Pengurusan penyu terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri, dan pada 1 April lalu kerajaan negeri telah mewartakan Kaedah-Kaedah Perikanan (Penyu) Perak 2021.
"Dengan adanya kaedah penyu ini jabatan telah meminta beliau (Rasli) untuk melepaskan semua penyu ke habitat asal dan membersihkan kawasan tersebut kerana kawasan tersebut adalah kawasan penyu mendarat," katanya.
Pada 2019, kerajaan negeri telah mewartakan pantai Telok Ketapang untuk dibangunkan Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu serta memperuntukkan RM3 juta bagi tempoh 2021-2025 bagi pembangunan pusat itu.
-- BERNAMA
#Zambry Abdul Kadir #penyu #pusat konservasi #Teluk Ketapang #Pulau Pangkor #jabatan perikanan #Perak #operasi #pemuliharaan #habitat asal #lesen #notis penutupan operasi #Zaki Mokri #Rasli Ibrahim #Pejabat Daerah Manjung #pelancong #pendaratan penyu