Pengusaha syarikat bas sedia tanggung kos pengurusan mangsa

Bernama
Disember 24, 2016 13:26 MYT
Pengusaha syarikat bas ekspres yang terbabit dalam nahas pagi tadi, bersedia menanggung kos pengurusan mangsa yang maut dan cedera. - Gambar BERNAMA
Pengusaha syarikat bas ekspres yang terbabit dalam nahas yang mengorbankan 14 nyawa dan 16 cedera di Km 137.3, Lebuhraya Utara-Selatan arah utara awal pagi tadi, bersedia menanggung kos pengurusan mangsa yang maut dan cedera.
Ketua Penyelia Syarikat Bas Goldstar (M) Sdn Bhd Wilayah Selatan, Steven Chong, 52, berkata pihaknya akan menguruskan semua perbelanjaan penghantaran semua mangsa yang terbabit dalam kemalangan itu.
"Pihak kami akan urus dan selesaikan mangsa yang maut terlebih dahulu diikuti mangsa yang cedera termasuk insurans dan urusan penghantaran pulang jenazah.
"Kami juga sedia berikan apa jua kerjasama bagi membantu waris serta mangsa tragedi," katanya kepada pemberita ketika ditemui di perkarangan Bilik Mayat Hospital Pakar Sultanah Fatimah di sini, hari ini.
Chong menjelaskan bas dari Johor Bahru ke Kuala Lumpur itu sepatutnya berlepas dari Stesen Bas Larkin pada jam 12.30 tengah malam tadi, namun terpaksa ditangguhkan sehingga jam 1.30 pagi berikutan kesesakan lalu lintas.
Chong berkata sehingga kini, pihaknya sedang berusaha mengumpul maklumat lengkap semua mangsa terbabit untuk tindakan lanjut.
Mengenai pemandu bas terbabit, beliau berkata pemandu bas, Zakeer Zubir, 32, yang turut maut dalam nahas itu, baharu berkhidmat dengan syarikatnya lebih sebulan turut maut dalam insiden terbabit.
"Pihak kami baru dapat maklumat bahawa pemandu turut membawa bersama isteri dan anaknya dalam bas berkenaan. Anak perempuannya juga maut, manakala isterinya cedera," katanya.
Dalam pada itu, Chong berkata ini merupakan kejadian kali pertama berlaku sepanjang kira-kira 30 tahun syarikat itu beroperasi.
Pada kejadian pagi tadi, sebuah bas ekspres terjunam ke dalam curam setinggi 10 meter sebelum merempuh benteng konkrit terowong di Kampung Jayor, berdekatan dengan kawasan rehat dan rawat Pagoh awal pagi tadi.
Selain 14 maut, seramai 16 lagi cedera termasuk enam warganegara Singapura dan dua warganegara Myanmar dalam kemalangan tersebut.
-- BERNAMA
#Hospital Pakar Sultanah Fatimah #kemalangan #Muar #nahas bas ekspres #ucapan takziah