MALAYSIA

Peniaga dakwa pekerja rumah inap rakam video ketika mandi

Sinar Harian 28/08/2025 | 07:50 MYT
Tangkap layar rakaman video yang tular memaparkan mangsa didakwa bertemu suspek berhubung kes itu. - Gambar/ Media sosial
KUALA TERENGGANU: Seorang peniaga mendakwa menjadi mangsa perbuatan tidak bermoral oleh seorang lelaki yang dipercayai merakam videonya ketika berada di dalam bilik mandi sebuah rumah inap di Manir, dalam kejadian pada Selasa lalu.


Ringkasan AI
  • Seorang peniaga wanita dari Ampang mendakwa menjadi mangsa rakaman video ketika mandi di sebuah rumah inap di Manir, Terengganu, dan telah membuat laporan polis selepas ternampak tangan memegang telefon bimbit di cermin tingkap bilik mandi.
  • Suspek yang juga pekerja rumah inap itu mengaku merakam video berkenaan namun mendakwa telah memadamkannya dan menyerahkan telefon bimbit kepada mangsa, namun tiada rakaman ditemui; rakaman CCTV juga tidak menghala ke lokasi kejadian.
  • Polis sedang mengesan suspek berusia 30-an dan menyiasat kes di bawah Seksyen 509 dan 447 Kanun Keseksaan serta Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955, susulan video pertemuan mangsa dan suspek yang turut tular di media sosial.


Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, mangsa berusia 35 tahun dari Ampang, Selangor telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu pada jam 12.09 tengah hari, Rabu.

Menurutnya, kejadian berlaku kira-kira jam 12.30 tengah malam selepas mangsa ternampak tangan seseorang memegang telefon bimbit di cermin tingkap bilik mandi sebelum menjerit memanggil suaminya yang berada di bilik tidur.

"Pasangan itu kemudian mencari individu tersebut di sekitar kawasan rumah inap dan ternampak kelibat seorang lelaki memakai kemeja-T kelabu melarikan diri dengan menaiki motosikal.

"Mereka kemudian menghubungi pemilik rumah inap berkenaan dan memaklumkan mengenai kejadian tersebut," katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Azli berkata, mangsa dan suaminya menyewa rumah inap itu selama empat hari bermula 25 Ogos lalu dengan harga RM5,250 bagi tujuan bercuti dan melakukan penggambaran baju Melayu.

Katanya, selepas kejadian, suspek lelaki yang juga merupakan pekerja rumah inap tersebut datang berjumpa dengan mangsa dan mengaku telah merakam video berkenaan namun mendakwa sudah memadamkannya.

"Lelaki tersebut memberitahu telah memadamkan rakaman itu sambil menyerahkan telefon bimbit miliknya kepada mangsa.

"Mangsa kemudian melihat telefon bimbit itu dan mendapati tiada rakaman videonya," katanya.

Azli berkata, siasatan polis mendapati rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi tidak menghala ke tempat kejadian, manakala tiada saksi lain yang melihat insiden tersebut.

"Polis sedang mengesan suspek berusia 30-an bagi membantu siasatan berhubung kes ini.

"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan, Seksyen 447 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955," katanya.

Sebelum ini, tular video rakaman berdurasi 52 saat yang dikongsikan menerusi media sosial pada Rabu memaparkan mangsa yang didakwa berjumpa suspek berhubung kes itu. - Sinar Harian






#video tular #kes intai #rakam ketika mandi #peniaga wanita