Peniaga degil jual vape di Johor berdepan tindakan tegas - Exco

Bernama
Mac 13, 2024 05:16 MYT
Pengerusi Jawatankuasa dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor Datuk Mohd Jafni Md Shukor (dua, kiri) beramah mesra dengan para peniaga dan pelanggan ketika mengadakan lawatan ke Bazar Ramadan Bandar Baru Uda pada Selasa. - Foto Bernama
JOHOR BAHRU: Peniaga vape atau rokok elektronik yang masih berdegil dan terus menjual produk itu di Johor bakal berdepan dengan tindakan tegas pihak berkuasa negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata larangan penjualan vape di negeri ini, merangkumi peranti dan cecairnya masih berkuat kuasa sejak 2016.
"Johor antara negeri yang masih melarang penjualan vape dan kita memang ada terima aduan berhubung penjualan vape sepanjang tahun lepas, tetapi jumlahnya tidak terlalu banyak serta hanya melibatkan kawasan tertentu.
"Tetapi asasnya apabila ada terima aduan, penguat kuasa akan bertindak, termasuk melibatkan peniaga vape dalam talian, cuma setakat ini (dalam talian) susah untuk dikawal," katanya kepada pemberita selepas melawat tapak Bazar Ramadan di Bandar Baru Uda di sini semalam.
Beliau berkata pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negeri ini akan terus memantau aktiviti penjualan vape bagi memastikan ia tidak berleluasa.
"Tindakan tegas mengikut undang-undang akan diambil khususnya apabila terdapat aduan diterima daripada orang awam.
"Sehubungan dengan itu, kita nasihati peniaga-peniaga untuk patuhi apa yang ditetapkan kerajaan negeri," katanya.
Pada 29 Nov 2015, Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar ketika itu dilaporkan bertitah mengharamkan penjualan dan penggunaan vape di negeri ini bermula 1 Jan 2016, sekali gus menjadi negeri pertama yang berbuat demikian.
-- BERNAMA
#peniaga vape #diambil tindakan #EXCO Johor #Mohd Jafni Md Shukor