KUALA LUMPUR: Semua perniagaan dalam sektor perdagangan pengedaran di bawah seliaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) tidak lagi memerlukan surat kebenaran beroperasi melalui COVID-19 Information Management System (CIMS).

Bagaimanapun, Menteri KPDNHEP, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, setiap sektor masih lagi tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) semasa, terutamanya bagi negeri-negeri yang masih di dalam PPN Fasa 2 dan 3.

"Penguat kuasa KPDNHEP akan meneruskan pemeriksaan dan penguatkuasaan pematuhan SOP menerusi Ops Samar di mana pegawai penguatkuasa akan berpakaian biasa (tidak berpakaian seragam) bagi memastikan premis-premis perniagaan dan orang ramai mematuhi SOP yang telah ditetapkan bagi mencegah penularan wabak COVID-19," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menyambut baik kebeneran aktiviti rentas negeri yang bermula hari ini, Alexander berkata, sektor perdagangan pengedaran merupakan antara aktiviti ekonomi utama dalam negara dan telah menyumbang sebanyak 16 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) atau RM311.6 bilion nilai jualan pada suku kedua 2021.

Jelasnya, sektor pengedaran dan peruncitan telah dibuka sepenuhnya, namun masih perlu mematuhi SOP yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam  membendung penularan COVID-19.

Beliau pada masa sama menasihati Keluarga Malaysia agar tidak bersikap sambil lewa terhadap kelonggaran yang diberikan seiring usaha membantu negara dalam pembukaan semula ekonomi serta persediaan menjalani kehidupan fasa endemik dengan selamat atau 'Reopening Safely'.

Pastinya semua telah melalui kesusahan dan keperitan dalam mematuhi langkah-langkah yang terpaksa diambil kerajaan semasa pandemik seperti Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan ia tidak harus berulang disebabkan kelalaian ahli Keluarga Malaysia dalam mematuhi SOP yang telah ditetapkan.