SUNGAI PETANI: Seorang peniaga didenda RM120,000 oleh Mahkamah Seksyen 1 Sungai Petani hari ini setelah mengaku salah menjalankan perniagaan diesel tanpa kebenaran di Sungai Lalang, di sini, bulan lalu.

Tertuduh, Lim Soon Ping, 41, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan jurubaha dalam bahasa Hokkien di hadapan Hakim Roslan Hamid.

Sekiranya gagal membayar denda, mahkamah mengarahkan tertuduh dihukum penjara selama enam bulan selain hasil jualan diesel yang dirampas bernilai RM60,200 dan dua buah lori diserah dan dilucut hak kepada kerajaan.

Sebelum itu, tertuduh mengaku salah bahawa dalam kawalannya terdapat barang kawalan sebanyak 28,000 liter minyak diesel dalam dua buah lori tangki.

Mengikut pertuduhan, perbuatan itu telah menimbulkan syak munasabah bahawa satu kesalahan akan dilakukan iaitu berniaga dengan cara jual runcit atau borong barang berjadual iaitu minyak diesel tanpa suatu lesen yang sah.

Akibat itu, dia dituduh telah melanggar Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 yang merupakan satu kesalahan bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 22(1) Akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Tertuduh bersama tiga warga Myammar iaitu Than Win Htun, Mg Win Thein dan Win Ko Naing berusia antara 30-an hingga 40-an dituduh bersama-sama pada 10 April lalu lebih kurang jam 1.20 pagi di Kawasan Perusahaan Sungai Lalang.

Tiga warga Myammar iaitu Than Win Htun, Mg Win Thein dan Win Ko Naing turut dituduh di mahkamah dan minta dibicarakan.

Bagaimanapun, ketiga-tiga warga Myammar tersebut mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.

Jika sabit kesalahan mengikut peraturan tersebut, boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Mahkamah menetapkan 5 Julai depan untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan pegawai pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Muhammad Nizam Amir.