JOHOR BAHRU: Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Rosol Wahid hari ini mengingatkan peniaga supaya sentiasa beretika dalam mengendalikan pelanggan dan bertolak ansur bagi mengelak berlaku perselisihan faham.

Beliau ketika mengulas mengenai video tular antara peniaga sebuah restoran dan pelanggan di Melaka baru-baru ini berkata peniaga perlu mempunyai kesabaran dan kejadian seperti yang berlaku di dalam video itu tidak seharusnya berlaku.

Menurut Rosol, ini kerana etika dan adab yang baik dalam perniagaan menjadi cerminan budaya dan masyarakat negara ini selain hak pelanggan untuk mendapatkan khidmat terbaik daripada peniaga.

"Sebagai peniaga perlu ada etika sebab bagi pelanggan... pelanggan adalah raja, apa sahaja yang dibuat pelanggan peniaga perlu bersabar," katanya kepada pemberita selepas Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) di Lotus Tebrau di sini hari ini.

Rosol berkata kejadian itu juga diharapkan bukan sahaja menjadi pengajaran kepada peniaga terbabit malah orang ramai.

"Kita tidak ada akta yang boleh kompaun (peniaga sekiranya pelanggan dilayan secara kasar) dan sebagainya.

"Cuma kita berharap semua orang kena banyak bersabar... dia (peniaga) mungkin mengalami tekanan disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (sebelum ini) dengan keadaan harga barang dan masalah lain, (sebab itu) yang penting banyak bersabar," katanya.

Terdahulu, tular satu rakaman video berdurasi 51 saat menerusi media sosial dipercayai dirakam seorang pelanggan di restoran itu yang memaparkan peniaga terbabit menggunakan perkataan kasar terhadapnya.

Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Hubungan Masyarakat, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Melaka Ngwe Hee Sem mengunjungi restoran itu dan menasihatkan pemiliknya selain menekankan meskipun Melaka terkenal dengan lenggok bahasa yang agak kasar, ia tidak boleh dijadikan alasan sehingga mencalarkan imej negeri itu.

Mengenai bekalan barangan asas sempena Aidiladha, Rosol berkata orang ramai tidak perlu gusar kerana bekalan termasuk ayam dan daging dijamin mencukupi bagi menampung permintaan.

"Maklumat yang kita terima daripada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, rakyat tidak perlu bimbang sama ada bekalan ayam atau daging, ia mencukupi pada Aidiladha nanti, itu tiada isu," katanya.

Mengenai PJKM, beliau berkata setakat hari ini, program yang bermula sejak Disember lepas di 1,702 lokasi di seluruh negara itu telah merekodkan hasil jualan mencecah RM54 juta.

-- BERNAMA