Skip to main content

Malaysia

Peniaga mengaku tidak bersalah buat hantaran komunikasi jelik

SEPANG, 7 April -- Seorang peniaga mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas pertuduhan membuat dan memulakan hantaran komunikasi jelik menerusi media sosial, dua tahun lepas.  Sanuzi Kernain, 42, selaku Orang Kena Saman (OKS) membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Fuad Othman.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Sanuzi Kernain ketika di Mahkamah Sesyen Sepang hari ini. - Gambar/ Bernama

SEPANG: Seorang peniaga mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas pertuduhan membuat dan memulakan hantaran komunikasi jelik menerusi media sosial, dua tahun lepas.

Sanuzi Kernain, 42, selaku Orang Kena Saman (OKS) membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Fuad Othman.

Advertisement

Mengikut kertas pertuduhan, Sanuzi didakwa membuat dan memulakan hantaran komunikasi dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain di Instagram menerusi akaun “boss.s_k” pada 13 Nov 2024.

Hantaran itu kemudian dilihat di Menara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) 1, Cyberjaya pada 5.15 pagi, 21 Feb 2025.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan tertuduh berdepan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya dan dikenakan denda selanjutnya sebanyak RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan.

Pegawai pendakwa MCMC Nazrul Nizam Mohd Zameri mencadangkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin, namun peguam Badrul Mushani Mustapa Albakari yang mewakili OKS merayu anak guamnya diberi jaminan rendah kerana bekerja sendiri dan merancang memulakan perniagaan baharu secara kecil-kecilan dalam masa terdekat.

Mahkamah membenarkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 5 Mei.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video