Peniaga, penjaja di KL digesa mohon lesen perniagaan sebelum 31 Dis

Bernama
September 20, 2022 12:07 MYT
Peniaga dan penjaja di ibu kota yang masih tidak memiliki lesen perniagaan daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) digesa membuat permohonan sebelum 31 Dis ini bagi mengelak tindakan penguatkuasaan. - Gambar hiasan/Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Peniaga dan penjaja di ibu kota yang masih tidak memiliki lesen perniagaan daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) digesa membuat permohonan sebelum 31 Dis ini bagi mengelak tindakan penguatkuasaan.
Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata DBKL akan melaksanakan program pemutihan lesen perniagaan bermula 1 Januari tahun depan dan tiada sebarang kompromi selepas tempoh itu.
"Sepanjang tiga bulan bermula 1 Okt ini, penguatkuasaan akan dilonggarkan bagi memberi peluang kepada peniaga di Kuala Lumpur menjalankan proses memohon lesen yang akan diberi kepada yang layak.
"Tidak akan ada lagi kompromi kepada peniaga tanpa lesen selepas tempoh berkenaan," katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Terdahulu Jalaludin menyerahkan surat tawaran Lesen Statik Tepi Jalan kepada 18 penjaja yang menjalankan perniagaan di Jalan Palong, Taman Miharja, Cheras.
Jalaluddin turut mengingatkan peniaga agar patuh dengan peraturan dan syarat lesen yang telah ditetapkan bagi mengelakkan tindakan termasuk pembatalan lesen diambil.
-- BERNAMA
#peniaga #penjaja #KL #Kuala Lumpur #DBKL #program pemutihan #lesen perniagaan #Kementerian Wilayah Persekutuan #jalaluddin alias